Saturday, May 14, 2005

Melayu belum cukup berjaya: Najib

BATU PAHAT: Umno bahagian di seluruh negara perlu menjadi pencetus, pemangkin dan pelaksana kepada pembentukan agenda Melayu yang diperjuangkan Umno selama ini, kata Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan Presiden Umno berkata, tanggungjawab untuk memantapkan agenda Melayu itu harus dipikul semua peringkat dalam Umno kerana pencapaian masyarakat Melayu kini masih pada tahap rendah.

Beliau berkata, walaupun beberapa anak Melayu sudah membuktikan keupayaan dalam pelbagai bidang malah ada yang berjaya mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa, ia masih belum memadai.

“Orang Melayu tak cukup berjaya lagi, walaupun dengan macam-macam kejayaan yang dicipta seperti pencapaian cemerlang dalam pendidikan, membentangkan hasil kajian di Parlimen Britain, mengharumkan nama negara dalam pelbagai bidang, tetapi sebenarnya itu belum cukup.

“Orang kita ketinggalan, bukan saja dari segi pemilikan harta tetapi juga pendidikan... lihat siapa yang dapat ijazah kelas pertama di universiti, siapa yang masuk universiti terkemuka dunia dan inilah yang menjadi agenda perjuangan kita,” katanya dalam ucapan perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Batu Pahat, di Dewan Jubli Intan di sini, semalam.

Najib berkata, untuk menentukan orang Melayu mencapai kejayaan cemerlang, semua ahli Umno termasuk peringkat akar umbi perlu menjadi pemangkin menggerakkan fikiran masyarakat Melayu.

“Peranan kita dalam Umno kini adalah sebagai pemangkin dan mencetus semangat orang Melayu supaya berani mencapai kejayaan lebih gemilang selaras agenda Melayu yang kita perjuangkan.

“Elakkan perbuatan melagakan pemimpin atau bergaduh sesama kita, sebaliknya kita harus mencari jalan macam mana nak jadikan Umno pemangkin yang besar kalangan orang Melayu,” katanya.

Bagaimanapun katanya, jika kejayaan sudah dicapai, orang Melayu tidak harus cepat lupa diri sebaliknya perlu mengamalkan sikap merendah diri.

“Walaupun sudah berada di zaman serba maju, kita tidak harus lupa resmi padi, makin berisi makin tunduk dan harus amalkan sikap ini dalam Umno bagi menguatkan jati diri untuk membawa Umno terus berjaya sebagai wadah perjuangan Melayu,” katanya.

Di MUAR, ketika merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Pagoh di Dewan Pekembar Pagoh, di sini, Najib berkata, perpaduan Umno sukar diganggu gugat pihak luar tetapi perpecahan dalam parti boleh berlaku disebabkan perpecahan ahli parti sendiri.

Katanya, tidak ada sesiapa yang boleh menyangkal Umno parti yang paling tua dan paling lama berkuasa di dunia.

Hadir sama, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang juga Ketua Umno Bahagian Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor yang juga Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com