Monday, May 02, 2005

Pengundi Islam dijangka tolak Blair

LUTON 1 Mei - Umat Islam Britain kini bersiap sedia untuk menggunakan undi di tangan mereka bagi menghukum Perdana Menteri, Tony Blair dan Parti Buruh pimpinannya kerana mengheret negara ini ke dalam perang di Iraq dua tahun lalu.

Sentimen tersebut di kalangan pengundi Islam semakin ketara menjelang pilihan raya umum Khamis ini.

``Disebabkan pembabitan Britain dalam perang Iraq, kami tidak berpuas hati dengan Parti Buruh,'' kata Pengerusi masjid besar Luton, Mubim Quraichi hari ini.

Kenyataan beliau yang sederhana itu disokong dengan protes lebih lantang, perhimpunan politik dan tindakan militan di jalan raya dengan tujuan menggesa penduduk supaya menghukum Blair dan Parti Buruh di peti undi.

Iraq kurang menjadi isu bagi sebahagian besar kempen menjelang pilihan raya tetapi menjadi hangat di kawasan pilihan raya utama di mana sebahagian besar pengundi adalah Islam.

Kesetiaan mereka kepada Parti Buruh selama ini tidak lagi boleh dianggap sebagai satu kepastian.

Di Luton, sebuah bandar kelas pekerja ke utara London, 25 peratus daripada penduduknya berasal dari Bangladesh dan Pakistan. Undi mereka sangat penting dalam membawa kemenangan kepada calon-calon Buruh di dua kawasan Parlimen pada pilihan raya 2001.

Kali ini undi mereka juga boleh membawa kekalahan kepada Parti Buruh.

Parti ketiga terbesar di Britain, Demokrat Liberal yang menentang konflik di Iraq dan parti antiperang, Respect telah berjaya menarik sokongan penyokong Buruh dan dijangka menjadi pilihan pengundi antiperang.

Seorang sukarelawan Respect, Hafsha Ali yang mengedarkan risalah di Luton berkata, pengundi telah berkali-kali memberitahunya bahawa mereka membenci Blair dan tidak akan mengundi beliau.

``Malah pengundi Buruh pun sangat marah,'' tambah ejen hartanah, Mohamed Chowdry, 56.

Sungguhpun tidak semua penyokong setia Buruh akan menolak parti itu semata-mata kerana isu Iraq, ada ramai pengundi termasuk penyokong Buruh yang akan memilih untuk tidak mengundi, katanya. - AFP

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com