Monday, May 02, 2005

BAHANG PILIHANRAYA BRITAIN

Rakyat Britain akan berpeluang menentukan siapa bakal menerajui negara itu untuk lima tahun akan datang pada 5 Mei ini. Pilihanraya umum Britain kali ini dilihat sebagai satu cabaran getir buat Perdana Menteri Tony Blair untuk melanjutkan penguasaan Parti Buruh di Parlimen Britain lantaran keputusan kurang popular beliau membawa Britain ke kancah peperangan menakluki Iraq, 2 tahun yang lalu.

Suasana kempen pilihanraya menjadi lebih hangat apabila parti pembangkang utama, Parti Konservatif pimpinan Michael Howard melancarkan serangan peribadi paling hebat ke atas Tony Blair dengan mempersoalkan kejujuran dan integriti beliau dalam isu penaklukan Iraq. Howard turut menuduh pencabarnya itu sebagai berbohong dalam banyak isu seperti yuran pengajian universiti dan dasar pencegahan jenayah kerajaan Buruh.

Dalam perkembangan terkini, akhbar utama Britain telah menyiarkan satu laporan yang memuatkan kenyataan Peguam Negara Britain, Lord Goldsmith yang mempertikaikan samada serangan ke atas Iraq selaras dengan peruntukan undang-undang. Dalam laporan tersebut, Lord Goldsmith menulis, ‘Saya masih berpandangan bahawa pendekatan undang-undang yang paling selamat ialah melalui resolusi PBB untuk menjustifikasi penggunaan ketenteraan dalam menangani isu Iraq ini’. Pembongkaran laporan rahsia ini telah memberi tamparan hebat kepada kepemimpinan Blair.

Penyiaran berita ini merupakan satu ancaman besar kepada cita-cita Parti Buruh untuk memenangi pilihanraya umum untuk penggal ketiga berturut-turut buat pertama kalinya. Walaubagaimanapun, bancian MORI di dalam akhbar Financial Times melaporkan bahawa Parti Buruh masih mendahului parti-parti lain dengan mendapat sokongan 36% di kalangan pengundi Britain diikuti oleh Parti Konservatif (34%) dan Parti Liberal Demokratik (23%). Parti Buruh dalam pilihanraya ini telah menggunakan faktor kecergasan ekonomi Britain dan isu-isu dalam negara sebagai modal memenangi hati rakyat Britain. Namun demikian, ramai penganalisis politik Britain masih berpandangan isu Iraq adalah satu liabiliti kepada Parti Buruh untuk memenangi pilihan raya umum kali ini. Menurut mereka, walaupun ada kemungkinan besar Tony Blair berupaya meneruskan penggal keduanya namun majoriti Buruh di parlimen dijangka berkurangan secara signifikan.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com