Monday, May 02, 2005

LPKP pantau kadar tambang baru

PUTRAJAYA 1 Mei - Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) akan bertanggungjawab penuh untuk memantau pelaksanaan kadar tambang baru pengangkutan awam yang mula dikuatkuasakan di seluruh Semenanjung, hari ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamed Khaled Nordin berkata, LPKP akan bertanggungjawab mengemukakan laporan kepada kementerian jika ada syarikat yang menaikkan tambang sesuka hati atau sebarang masalah yang timbul berkaitan pelaksanaan itu.

Katanya, LPKP itu juga akan bertanggungjawab untuk mengambil tindakan kepada pengusaha-pengusaha pengangkutan awam jika didapati mengenakan kadar tambang yang tidak sepatutnya.

``Kementerian telah memutuskan kadar tambang baru sejak sebulan lalu dan semua syarikat serta pengusaha pengangkutan awam telah tahu tentang perkara ini. Jadi, mereka juga telah faham tentang peratus kenaikan.

``Tetapi jika ada syarikat-syarikat yang melanggar kadar tambang yang diputuskan, LPKP akan bertanggungjawab dalam perkara ini untuk memastikan ia dilaksanakan mengikut arahan sepenuhnya,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pelaksanaan kadar tambang baru pengangkutan awam yang melibatkan teksi, kereta sewa, bas bandar dan bas ekspres di seluruh negara bermula hari ini.

Pada 31 Mac lalu, Mohamed Khaled mengumumkan kadar tambang baru bagi bas ekspres, bas bandar dan kereta sewa di Semenanjung akan mengalami kenaikan dari 0.9 sen hingga 12 sen mulai hari ini.

Bagi teksi pula, kadar tambangnya akan mengalami perubahan dari segi kilometer bermula RM2 bagi satu kilometer pertama berbanding RM2 untuk dua kilometer sebelum ini.

Di bawah struktur tambang baru itu, bas ekspres tidak berhawa dingin serta berhawa dingin masing-masing naik kepada 5.5 sen dan 6.5 sen sekilometer berbanding dengan 4.6 sen dan 5.5 sen pada kadar lama.

Penstrukturan semula kadar tambang pengangkutan awam tersebut merupakan prosedur biasa yang dibuat setiap lima tahun dan kali terakhir kadar itu disemak ialah pada September 2001.

Antara alasan utama semakan setiap lima tahun itu dibuat ialah untuk mencerminkan usaha mengimbangi kepentingan pengusaha pengangkutan awam dengan kepentingan pengguna.

Dalam perkembangan sama, Mohamed Khaled berkata, kementerian tidak akan memaksa mana-mana syarikat pengangkutan awam untuk melaksanakan kadar baru tambang serta-merta hari ini.

``Kementerian telah memutuskan bahawa 1 Mei kadar tambang baru berkuat kuasa. Terserah kepada mereka (pengusaha-pengusaha) untuk memulakan kadar tambang baru hari ini atau bila-bila sahaja.

``Tapi mereka mesti mengikut peraturan dan kadar yang ditetapkan oleh kementerian kerana itu melibatkan kepentingan mereka dan pengguna,'' tambah beliau.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com