Monday, May 02, 2005

Cuepacs rayu pertimbang permintaan

Oleh Wan Hazmir Bakar

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), merayu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menimbang beberapa permintaan yang sudah dibuat oleh kakitangan awam termasuk supaya mereka dibayar 13 bulan gaji setahun.

Presiden Cuepacs, Nordin Abdul Hamid, berkata permintaan lain yang diharap mendapat pertimbangan Perdana Menteri ialah pengwujudan semula Tribunal Perkhidmatan Awam, waktu kerja lima hari seminggu, kajian semula Penilaian Tahap Kecekapan (PTK), tangga gaji dan elaun, serta perubahan pada cadangan pindaan Akta Kesatuan Sekerja.

Katanya, rayuan supaya kerajaan menimbangkan permohonan Cuepacs yang mahu kakitangan awam dibayar gaji 13 bulan setahun itu dibuat selepas pihaknya mengambil kira keadaan semasa dan realiti tempoh bekerja mereka.

Beliau berkata, permintaan supaya kerajaan menimbangkan permintaan lain pula dibuat kerana Cuepacs berpendapat kakitangan awam masih tidak mendapat perhatian dan pembelaan sewajarnya.

Berucap pada majlis sambutan Hari Pekerja anjuran Cuepacs, semalam, Nordin berkata, walaupun tuntutan itu sudah lama dibangkitkan, reaksi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sehingga ini masih mengecewakan kesatuan.

Malah, katanya, hubungan JPA dengan Cuepacs yang sepatutnya berasaskan perkongsian bijak tidak menghasilkan keadaan menang-menang seperti diharapkan kerana semua keputusan dibuat JPA manakala Cuepacs hanya dimaklumkan mengenainya.

“Jika beliau (Abdullah) sanggup mendengar keluhan rakyat, maka dengarlah rintihan kami,” katanya berucap di depan kira-kira 500 kepemimpinan kesatuan gabungan Cuepacs di Padang Kelab Sultan Sulaiman di sini.

Majlis sambutan itu diisi nyanyian lagu patriotik, ikrar taat setia perkhidmatan awam, ucapan pemimpin serta perlawanan persahabatan bola sepak dan bola jaring dengan Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Penulis Lagu Tanah Air (Papita).

Merujuk peningkatan kos sara hidup sejak kebelakangan ini, Nordin meminta kerajaan mengkaji semula tangga gaji dan elaun kakitangan awam, terutama gaji minimum di antara RM500 hingga RM600 yang kini tidak cukup menampung kehidupan.

“Ahli Parlimen pun sudah diberi kenaikan gaji, saya kira sudah sampai masanya untuk kita diberi pertimbangan pula,” katanya.

Nordin juga meminta kerajaan mempertimbang pembayaran gaji 13 bulan kepada kakitangan awam sejajar dengan tempoh bekerja sebenar selain melaksanakan waktu kerja lima hari seminggu yang disifatkan boleh membantu aktiviti ekonomi negara.

“Kita dibayar gaji setiap bulan untuk 12 bulan iaitu bersamaan 48 minggu tetapi setahun ada 52 minggu atau 13 bulan,” katanya yang menjelaskan memorandum mengenainya sudah diserahkan kepada kerajaan sejak 2003 lagi.

Bercakap kepada pemberita kemudian, beliau berkata, kerajaan perlu mewujudkan semula Tribunal Perkhidmatan Awam bagi menyelesaikan permasalahan dan pertikaian membabitkan sektor awam secara lebih adil.

Katanya, Cuepacs mendapati wujud banyak anomali dalam sektor awam seperti dalam pekeliling kerajaan dan pertikaian tertentu yang sepatutnya dibawa ke tribunal untuk diputuskan, bukannya mengikut keputusan JPA semata-mata.

Ditanya mengapa sambutan Hari Pekerja itu hanya diadakan di padang tanpa kehadiran menteri, Nordin berkata: “Kami buat keputusan bahawa kami mahu berdikari, tak payah panggil pemimpin. Ia bukan bermakna kami tak hormati atau hargai kerjasama mereka”.

Sementara itu, Timbalan Presiden 1 Cuepacs, Omar Osman, menegaskan Cuepacs yang mewakili kira-kira sejuta kakitangan awam tidak boleh diperlekehkan.

“Cuepacs sekarang bukan Cuepacs dulu. Kalau tuntutan kita tidak berjaya, kita turun sekali lagi ke padang,” katanya.

Setiausaha Agung Cuepacs, Ahmad Shah Mohd Zin, pula menuntut supaya Cuepacs dijadikan wakil Malaysia ke persidangan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com