Monday, May 02, 2005

Bicara kes jenayah setahun -- Ketua Hakim Negara mahu resolusi pendekkan tempoh dibentuk

Oleh: WAN RAHIMAH DRAMAN

JOHOR BAHRU 1 Mei - Ketua Hakim Negara, Tan Sri Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim berkata, badan kehakiman perlu membentuk satu resolusi bagi menentukan tempoh perbicaraan sesuatu kes jenayah disingkatkan kepada setahun berbanding lima tahun sekarang.

Katanya, pembentukan resolusi itu sempena Persidangan Pegawai-Pegawai Kehakiman Seluruh Malaysia yang sedang berlangsung di sini, penting untuk mengurangkan tempoh menunggu yang lama bagi setiap kes selain mengatasi masalah kes-kes tertunggak.

``Dua tahun lalu di Kuantan, kita telah membentuk resolusi melupuskan kes-kes pra 2000 yang tertunggak di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret seluruh negara untuk menyelesaikan kes tertunggak sebelum Jun 2004.

``Hasilnya amat membanggakan apabila kes-kes pasca 2000 yang tertunggak berjaya diselesaikan oleh Mahkamah-Mahkamah Sesyen dan Majistret dalam tempoh tidak lebih dua hari tanpa mencabuli prinsip-prinsip keadilan sejagat.

``Dalam resolusi kali ini, kita akan melakukan yang terbaik untuk jadikannya (waktu menunggu penyelesaian sesuatu kes mulai tarikh didakwa hingga hukuman diputuskan) setahun tetapi ia akan dilakukan secara berperingkat-peringkat,'' katanya.

Ahmad Fairuz berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Pegawai-Pegawai Kehakiman Seluruh Malaysia di Hotel Pan Pacific di sini.

Persidangan tiga hari itu dihadiri oleh hampir 1,000 pegawai kehakiman dari Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Turut serta pada majlis hari ini ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abdul Malek Ahmad; Hakim Besar Malaya, Datuk Siti Norma Yaakob dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Steven Shim Lip Kiong.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com