Saturday, May 14, 2005

Hina al-Quran: Amerika perlu minta maaf pada umat Islam

Oleh Saidatul Amani

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Hrkh) - PAS mendesak Presiden Amerika Syarikat, George W Bush meminta maaf kepada umat Islam sedunia di atas tindakan biadap tentera AS yang menghina al-Quran di Teluk Guantanamo, Cuba.

Pengerusi Lajnah Antarabangsanya, Dr Mohd Hatta Ramli berkata, PAS mengingatkan mana-mana pihak dan individu supaya menganggap tindakan menghina al-Quran itu sebagai suatu perkara yang amat sensitif bagi umat Islam.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat mengajak umat Islam seluruh dunia supaya bersatu untuk mempertahankan kesucian agama Islam supaya tidak ada mana-mana kuasa besar seperti AS dan Israel berani untuk memperkotak-katikkan kemampuan serta keberanian umat Islam.

Menurut beliau, perbuatan biadap tentera AS yang membaling al-Quran itu menambahkan keyakinan umat Islam mengenai niat buruk AS terhadap negara-negara umat Islam selama ini.

Katanya, tindakan membaling al-Quran itu suatu perbuatan yang amat melukakan hati umat Islam dan boleh menimbulkan ketegangan lebih besar dan sukar untuk dibendung.

Dengan tindakan biadap tentera AS itu menyebabkan tiga orang terbunuh di Afghanistan dalam tunjuk perasaan membantah tindakan penghinaan tersebut.

Semalam para pelajar berhimpun di Kabul untuk mengutuk Amerika sehari selepas rusuhan di Jalalabad, mengakibatkan empat orang terbunuh.

Menjawab soalan mengapa tentera AS berani bertindak biadap kepada umat Islam katanya, tentera AS berasa mereka telah menempa kejayaan di tempat yang mereka serang dan kejayaan itu menyebabkan mereka berasa bongkak.

Tambahnya, tentera AS juga menganggap umat Islam tidak mampu untuk bangkit menentang keberanian dan kekuasaan yang dimiliki oleh mereka sebab itu AS berani untuk bertindak lebih ganas terhadap umat Islam.

Umat Islam bangkit menentang setelah hilang kesabaran

Sementara itu, Dewan Pemuda PAS Pusat menegaskan tindakan biadap tentera AS itu merupakan suatu agenda penghinaan terhadap umat Islam setelah tidak puas hati menyerang serta membunuh mereka.

Timbalannya, Ustaz Idris Ahmad berkata, kebiadapan tentera AS dengan membaling dan memijak al-Quran itu membuktikan bahawa golongan zionis dan Yahudi merupakan golongan pelampau, bukannya umat Islam yang selama ini mereka dakwa sebagai pelampau.

Menurut beliau, dalam sejarah Rasulullah s.a.w sehingga hari ini umat Islam tidak pernah menghina kitab Bible dan kitab-kitab agama lain dengan cara membaling atau memijak-mijak kitab tersebut.

Katanya, tetapi tragedi yang berlaku di Teluk Guantanamo, Cuba merupakan rangkaian penghinaan Islam sejak dahulu lagi iaitu ketika golongan Yahudi dan Zionis berperang dengan Islam dan penghinaan itu mungkin akan terus berlaku hingga akhir zaman.

Mengulas kebiadapan tersebut, Idris yang juga AJK PAS Pusat menjelaskan, walaupun umat Islam berjumlah lebih 1 bilion tetapi mereka tidak ubah seperti `buih di lautan' yang ramai tetapi tidak mempunyai jati diri.

"Golongan umat Islam seperti ini lemah semangat jihadnya," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, pagi tadi.

Sehubungan itu DPP Pusat memberi amaran kepada golongan yang menghina umat Islam kerana kesabaran umat Islam ada tahapnya dan mereka akan bangkit menentang segala penghinaan yang dilemparkan bila tahap kesabarannya telah memuncak. - mks.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com