Saturday, May 14, 2005

Ekonomi Malaysia melonjak ke tangga kelapan

SINGAPURA 13 Mei - Malaysia melompat ke tangga kelapan tahun ini daripada kedudukan ke-16 pada tahun lepas dari segi prestasi ekonomi domestik, demikian menurut satu kaji selidik.

`The World Competitiveness Yearbook 2005' menyatakan, daripada 60 ekonomi yang dikaji oleh pusat latihan perniagaan berpangkalan di Switzerland, IMD, Thailand berada satu tangga di atas Malaysia manakala Perancis dan Belanda masing-masing menduduki tangga ke-9 dan 10.

Kaji selidik tahunan oleh IMD itu mengukur keupayaan negara-negara untuk mewujud dan mengekalkan satu persekitaran persaingan bagi syarikat-syarikat.

Ia menggunakan 314 kriteria dengan data-data dihimpun daripada sumber rasmi dan eksekutif.

Amerika Syarikat menduduki tempat teratas dalam senarai itu diikuti Luxembourg, China, Hong Kong, Singapura dan Ireland.

Bagaimanapun dalam keseluruhan papan mata daya saing ekonomi, Malaysia merosot ke tangga ke-28 daripada kedudukan ke-16 tahun lepas.

Negara jiran, Thailand berada satu tangga di atas Malaysia manakala Korea pula berada di belakang Malaysia dalam keseluruhan papan mata itu.

Amerika Syarikat, Hong Kong dan Singapura berada di tiga kedudukan teratas dalam keseluruhan daya saing manakala Venezuela, Indonesia dan Argentina masing-masing berada di kedudukan ke-60, ke-59 dan ke-58.

Negara-negara lain yang berada dalam 10 senarai teratas adalah Iceland, Kanada, Finland, Denmark, Switzerland, Australia dan Luxembourg.

Di rantau Asia-Pasifik, Malaysia berada di kedudukan ke-9 dalam keseluruhan papan mata daya saing itu.

Negara-negara yang berada dalam 10 senarai teratas bagi rantau itu adalah Hong Kong, Australia, Singapura, Taiwan, New Zealand dan Jepun, Thailand dan Korea.

Sementara itu Malaysia berada di tempat ke-10 dalam daya saing di kalangan 30 negara dengan penduduk lebih 20 juta penduduk.

Di kalangan negara dengan pendapatan per kapita kurang daripada AS$10,000 (RM38,000) pula Malaysia berada di tangga ke-5 daripada 24 negara, jatuh daripada kedudukan pertama tahun lepas.

Senarai teratas bagi kategori ini dirampas oleh Chile.

Malaysia berada di kedudukan ke-26 daripada 60 negara dari segi kecekapan kerajaan dan tangga ke-34 dari segi kemudahan prasarana. - Bernama

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com