Saturday, May 14, 2005

Kontrak DRB-Hicom bina landasan berkembar Rawang-Ipoh ditamatkan

KERAJAAN Malaysia menamatkan kontrak DRB-Hicom Bhd (DRB-Hicom) sebagai kontraktor utama projek rel terbesar landasan berkembar Rawang-Ipoh yang sedang dibangunkannya.

Kerajaan menyingkirkan DRB-Hicom yang bertindak sebagai kontraktor utama projek berikutan masalah kelewatan masa dan kos.

Agensi berita Reuters yang memetik sumber kerajaan sebagai berkata, kerajaan bercadang memberi kerja projek bernilai RM2.6 bilion yang sudah beberapa kali tertangguh, kepada UEM World Bhd.

Sumber itu berkata Kementerian Pengangkutan menamatkan kontrak DRB-Hicom dua minggu lalu.

“UEM diberikan surat hasrat seminggu lalu untuk menyiapkan bahagian projek itu yang belum disiapkan untuk RM1.1 bilion ringgit,” katanya.

DRB-Hicom dikatakan meminta dibenarkan melengkapkan projek itu jika kerajaan membayar RM700 juta bagi memenuhi kos.

“Kerajaan dapat menjimatkan RM400 juta,” kata sumber itu.

Sementara itu penganalisis yang dihubungi Berita Harian berkata kehilangan projek itu memberi kesan agak besar kepada pendapatan DRB-Hicom kerana nilai projek berkenaan yang besar.

DRB-Hicom dalam laporan prestasi kewangannya sebelum ini melaporkan projek landasan itu memberi sumbangan positif kepada pengukuhan operasi kewangan kumpulan sejak ia dimulakan pada Disember 2000.

Penganalisis MIDF Sisma Securities Sdn. Bhd berkata, walaupun agak sukar menentukan jumlah kerugian sebenar, penyingkiran itu mampu mengurangkan pendapatan bersih kumpulan berdasarkan nilai projek itu.

“Ia mungkin mencemarkan reputasi DRB-Hicom kerana dalam bidang pembinaan, keupayaan menepati masa dan kos amat penting,” katanya.

Projek Landasan Berkembar Elektrik Rawang-Ipoh sepanjang 180 kilometer yang menelan belanja RM2.6 bilion hanya dijangka siap sepenuhnya awal 2007.

Ia pada awalnya dijadualkan siap pada 2002 dan kemudiannya ditangguhkan kepada 2006.

Kerja tapak projek itu dilaporkan berada pada tahap 80 peratus pada Mac lalu dan menurut DRB-Hicom, kelewatan menyiapkan projek itu adalah disebabkan beberapa masalah teknikal.

Selain masalah teknikal, antara punca kelewatan termasuk pembinaan trek, cuaca dan keengganan setinggan untuk berpindah.

DRB-Hicom Bhd ialah kontraktor utama projek itu, manakala KTM Bhd bertindak sebagai pengurus projek dan terdapat empat kontraktor kecil yang terbabit iaitu UE Construction Sdn Bhd: Perspec Prime (M) Sdn Bhd, Emrail Sdn Bhd; dan IJM Corp Bhd.

Projek landasan berkembar itu membabitkan antara lainnya pembinaan landasan baru dan menyusun semula landasan sedia ada, menggantikan jambatan kereta api, tahap lintasan jambatan jalan, pembinaan bangunan stesen baru, depoh EMU yang baru dan memperbaharui dan menaik taraf Stesen Ipoh.

Penganalisis itu berkata, penyingkiran itu mungkin mengurangkan peluang DRB-Hicom untuk terbabit dalam projek sama pada masa depan.

“Ia menjejaskan kredibiliti kumpulan dalam bidang pembinaan, justeru DRB-Hicom perlu mengambil langkah segera memulihkan imej jika benar penyingkiran itu dilakukan,” katanya.

Jurucakap Kementerian Pengangkutan yang dihubungi Berita Harian juga enggan mengulas.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com