Saturday, May 14, 2005

Muflis pada usia yang lebih muda

Menurut perangkaan Februari Bank Negara, sejumlah 16,251 individu Malaysia telah diisytiharkan muflis pada tahun lalu, satu peningkatan besar sebanyak 100% dan 760% berbanding dengan angka masing-masing pada 1995 dan 1998.

Laporan itu menunjukkan bahawa penyebab utama kemuflisan adalah pinjaman kereta (23% dari jumlah keseluruhan), penjamin pinjaman-pinjaman pendidikan (16%), pinjaman-pinjaman bank (15%) dan tunggakan kad-kad kredit (11%).

Lebih membimbangkan, laporan itu juga menonjolkan satu trend muflis di kalangan mereka yang lebih muda, dengan golongan di dalam kumpulan umur 31-40 tahun dan 41-50 tahun masing-masing menyumbang 28% dan 36% daripada keseluruhan kes.

Ahli-ahli ekonomi telah menyalahkan peningkatan kemuflisan ini kepada kelembapan ekonomi, pertambahan penduduk, dan sikap pengurusan kewangan yang kurang baik.

Tetapi masalahnya ialah ekonomi negara menyaksikan lonjakan semula kukuh sejak kemelesetan tahun 1998, dan telah menunjukkan prestasi cemerlang di dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini. Namun mengapa lebih ramai orang menjadi muflis sedangkan pendapatan boleh guna mereka sepatutnya telah meningkat?

Satu fenomena membingungkan ialah kita menyaksikan semakin banyak kes muflis walhal pihak-pihak berkuasa telah menyemak semula undang-undang bankrupsi, membuat pelarasan dengan menaikkan nilai ambang RM10,000 ke RM30,000.

Hakikatnya, secara peribadi saya merasakan punca utama kebangkrapan ialah kurangnya perancangan kewangan teliti dan pengetahuan pengurusan kewangan yang lemah di kalangan rakyat Malaysia.

Sebagai misalan, dek kerana keangkuhan, sesetengah golongan muda bertukar kereta baru setiap dua ke tiga bulan, kepingin untuk mendapatkan pujian dan kekaguman daripada rakan-rakan seangkatan mereka tanpa mempertimbangkan dengan secukupnya sama ada tindakan itu di luar kemampuan mereka atau tidak. Akhirnya, mereka tenggelam di dalam lautan hutang.

Dan jika itu masih tidak cukup, tabiat perbelanjaan tidak terkawal dan kesilapan taktik-taktik pelaburan telah menambah kepada satu senarai panjang penyebab yang berkemungkinan, menonjolkan wujudnya keperluan genting bagi warga Malaysia untuk memperkukuhkan ilmu pengurusan kewangan mereka.

Pengurus-pengurus kewangan telah berulang kali menggesa agar kita menyimpan satu set rancangan pengurusan kewangan yang paling sesuai untuk diri kita sendiri, berbelanja secara bijaksana dan meningkatkan pendapatan kita melalui pelbagai saluran (termasuk pelaburan dan kerja-kerja sambilan) supaya kita mampu meneruskan kehidupan tanpa kebimbangan di masa hadapan.

Pada masa yang sama, kita juga perlu memiliki satu jumlah simpanan yang menyamai pendapatan untuk enam bulan sebagai persedian menghadapi kemungkinan pengangguran atau dana-dana kecemasan yang kita boleh gerakkan di waktu menghadapi kesesakan wang.

Hubungan di antara kehidupan kita dan wang bukanlah seperti satu pasangan kembar Siam. Kita perlu satu perancangan menyeluruh tentang perkara-perkara yang dianggap asas seperti perbelanjaan sara hidup harian, simpanan pendidikan anak-anak dan rancangan persaraan. Pengurusan kewangan bijaksana membolehkan kita untuk mencapai objektif-objektif tersebut di dalam hidup.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com