Wednesday, May 18, 2005

Wujudkan satu lagi jawatan Timbalan KPN disokong

KANGAR 17 Mei - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad menyokong penuh cadangan supaya satu lagi jawatan Timbalan Ketua Polis Negara diwujudkan memandangkan beban tugas yang semakin mencabar pada masa ini.

Menurut beliau, pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjadi lebih cekap dan berkesan jika Ketua Polis Negara dibantu oleh dua timbalan.

``Jika kita lihat di semua peringkat PDRM seperti di balai dan daerah, ia mempunyai dua timbalan supaya kerja-kerja yang dijalankan lebih cekap dan sempurna.

``Ada timbalan ketua polis daerah yang menjaga hal ehwal pentadbiran dan ada pula bertanggungjawab dalam hal-hal jenayah,'' katanya.

Beliau mengulas syor Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan PDRM mengenai satu lagi jawatan Timbalan Ketua Polis Negara diwujudkan bagi meningkatkan keberkesanan pengurusan pihak berkuasa itu.

Mengikut laporan suruhanjaya itu, seorang timbalan boleh memberi tumpuan kepada soal pengurusan dan kewangan manakala seorang lagi dalam aspek operasi pasukan.

Pada masa ini, Ketua Polis Negara dibantu oleh seorang Timbalan Ketua Polis Negara.

Radzi berkata, pihaknya tidak nampak berlaku masalah atau pertindihan kuasa jika PDRM mempunyai dua Timbalan Ketua Polis Negara.

Bagaimanapun, jelas beliau, keputusan untuk mewujudkan dua jawatan Timbalan Ketua Polis itu akan diputuskan oleh Jawatankuasa Kabinet yang menimbang segala syor yang dikemukakan oleh suruhanjaya diraja tersebut.

``Syor-syor ini akan dibincangkan selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pulang dari luar negara tidak lama lagi,'' jelasnya.

Selain itu, Radzi memberitahu, kerajaan juga bersetuju jika lebih ramai kaum wanita diambil berkhidmat sebagai anggota polis khususnya bagi menangani kes jenayah seksual dan kanak-kanak yang semakin meningkat setiap tahun.

``Dalam undang-undang memang polis wanita dipertanggungjawabkan menangani kes-kes seumpama ini tetapi bilangan anggota polis wanita kita terhad,'' jelasnya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com