Wednesday, May 18, 2005

Jakim syor larang program hiburan ketika waktu solat

Oleh Nasron Sira Rahim

KUALA LUMPUR: Garis panduan hiburan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang dijangka dikeluarkan tidak lama lagi, antara lain melarang penyiaran atau persembahan program hiburan ketika waktu solat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin, berkata garis panduan hiburan itu sudah siap dan beliau akan menyerahkannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata, turut dilarang dalam garis panduan itu ialah penggunaan istilah dan penulisan lirik yang bercanggah dengan Islam atau yang dianggap tidak melalaikan pendengar.

“Nyanyian pun harus mempunyai lirik yang wajar. Sebagai contoh, lagu percintaan dibenarkan tapi tak bolehlah seperti merintih dari pagi hingga tengah hari dan ‘ingin berjumpa di pintu syurga’.

“Belum tentu lagi kita akan masuk syurga,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Islam Hadhari Peringkat Universiti Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM), di sini semalam.

Garis panduan hiburan itu disiapkan selepas Perdana Menteri menyatakan persetujuannya terhadap cadangan Majlis Fatwa Kebangsaan supaya ia boleh menjadi panduan kepada industri hiburan di negara ini.

Dr Abdullah berkata, persembahan hiburan juga tidak boleh sehingga melalaikan penonton serta mencampurkan antara penonton lelaki dengan wanita yang diharamkan syariat.

“Fatwa sudah banyak dikeluarkan termasuk oleh Universiti Al-Azhar bahawa perhimpunan ramai dibolehkan bagi meraikan adab tetapi mestilah berlandaskan akhlak.

“Berkumpul sehingga bergelumang maksiat tidak dibenarkan. Islam tidak menghalang hiburan malah menganjurkan umatnya berhibur seperti selepas penat bekerja dan mendengar lagu yang tidak melalaikan mereka daripada tanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata, garis panduan itu perlu kerana masyarakat kini terlalu menumpukan kepada hiburan sehingga mengabaikan kepentingan lain.

“Saya akan berjumpa dengan Perdana Menteri untuk menjelaskan garis panduan ini,” katanya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com