Wednesday, May 18, 2005

Segera baiki logistik polis:Perumahan, balai usang pengaruhi prestasi kerja: Najib

Oleh Mohd Azis Ngah

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memberi perhatian segera terhadap usaha meningkatkan aspek logistik polis bagi menaikkan moral anggota pasukan itu seperti disyorkan oleh Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM), kata Datuk Seri Najib Razak (gambar).

Timbalan Perdana Menteri berkata, semua syor dikemukakan suruhanjaya itu dalam laporannya yang dikeluarkan kepada umum kelmarin, akan diteliti oleh pasukan petugas dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri.

“Pada peringkat ini, kami tidak mahu menyatakan mana yang boleh dan tidak boleh diterima kerajaan. Kami hendak teliti satu persatu syor itu secara mendalam antara pelbagai agensi pusat terbabit termasuk Kementerian Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Awam dan sebagainya.

“Bagaimanapun, perhatian perlu diberi terhadap syor yang boleh dilaksanakan segera terutama dari segi peningkatan logistik seperti perumahan, balai polis yang usang, kereta ronda dan alat komunikasi untuk menambah keberkesanan perkhidmatan polis,” katanya selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Pertahanan 2005, di sini semalam.

Suruhanjaya itu, dalam laporannya yang bertemakan ‘Kepolisan Abad Ke-21’ kelmarin, mengemukakan 125 syor bagi dilaksanakan kerajaan untuk meningkatkan kredibiliti dan integriti pasukan berkenaan.

Najib berkata, usaha memperbaiki aspek logistik itu memerlukan tindakan segera kerana ia dikatakan masih pada tahap lama serta boleh mempengaruhi semangat kerja anggota.

“Ini untuk menaikkan moral anggota polis di samping menambah keyakinan orang ramai terhadap polis,” katanya.

Mengikut laporan suruhanjaya itu, sebahagian besar perumahan dan premis kerja anggota polis amat tidak memuaskan dan memerlukan perhatian segera kerana ia mempengaruhi moral dan kepuasan kerja mereka.

Selain itu, 59 peratus atau enam daripada 10 kenderaan PDRM berada di luar jangka hayat penggunaannya termasuk kenderaan berusia 20 tahun dan Land Rover lama yang kerap memerlukan pembaikan serta masalah alat ganti.

Ditanya sama ada beliau terkejut mengenai laporan suruhanjaya itu bahawa ada pegawai kanan polis yang mengisytiharkan harta sebanyak RM34 juta, Najib berkata, ia menghairankan dan perkara itu boleh diteliti lebih lanjut kerana tiada nama yang disebut.

Beliau berkata, tindakan perlu diambil untuk mengetahui daripada mana sumber kekayaan itu diperoleh dan yakin Ketua Polis Negara akan mengambil tindakan sesuai berhubung perkara itu.

“Saya percaya KPN sudah mengambil tindakan perlu termasuk tindakan dalaman menangani masalah itu. Sepatutnya setiap kakitangan mengisytiharkan pendapatan mereka lima tahun sekali bagi mengelakkan salah tanggapan,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai tahap kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam menghadapi era perang moden, beliau berkata, angkatan itu seharusnya lebih fokus kepada kemampuan angkatan dan sentiasa bersedia.

Katanya, cabaran itu juga adalah antara strategi yang diterapkan dalam perancangan ATM dan tiga cabang tentera iaitu darat, udara dan laut.

“Kita akan tentukan tahap kesiapsiagaan sentiasa pada tahap paling tinggi. Tidak guna jika mempunyai senjata canggih atau kapal moden jika satu daripada peralatan seperti radar tidak berfungsi manakala bahagian lain sudah bersedia,” katanya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com