Thursday, May 19, 2005

BPR siasat polis jutawan: Fail pegawai isytihar harta RM34j dibuka semula

Oleh Kadir Dikoh

PUTRAJAYA: Badan Pencegah Rasuah (BPR) membuka semula fail siasatan berhubung dakwaan bahawa seorang pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pernah mengisytiharkan harta bernilai RM34 juta.

Sumber-sumber memberitahu Berita Harian, seorang pegawai kanan dari ibu pejabat BPR di sini, sudah diarah mengetuai satu pasukan penyiasat untuk melaksanakan ‘tugas khas’ itu.

Katanya, pegawai itu akan mula merekodkan kenyataan daripada pegawai polis berkenaan.

Difahamkan, BPR sebelum ini pernah menyiasat kes berkenaan tetapi ia terpaksa ditutup selepas pegawai penyiasat yang ditugaskan, gagal memperoleh bukti mencukupi.

Selain itu, pihak yang membuat dakwaan itu juga tidak dapat mengemukakan bukti kukuh dan enggan bekerjasama dengan BPR.

Bagaimanapun, isu berkenaan kembali menarik perhatian apabila ia disebut dalam laporan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dihebahkan kepada umum mulai Isnin lalu.

Kelmarin, Datuk Seri Najib Razak yang melahirkan rasa terkejutnya dengan pendedahan itu berkata, kes itu perlu diteliti dengan lebih lanjut kerana tiada nama yang disebut.

Timbalan Perdana Menteri berkata, tindakan perlu diambil untuk mengetahui daripada sumber mana kekayaan itu diperoleh dan yakin Ketua Polis Negara akan mengambil tindakan sesuai berhubung perkara itu.

Sementara itu, akhbar tabloid The Malay Mail, dalam laporannya semalam memetik Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai berkata, pihaknya akan mengarahkan siasatan dilakukan terhadap dakwaan itu.

Beliau berkata, pihaknya sedang menghalusi laporan berkenaan dan akan mengarahkan jabatan kerajaan yang berkaitan menyiasat perkara berkenaan hingga ke peringkat akar-umbi untuk menegakkan keadilan.

Akhbar itu juga melaporkan bahawa seorang pegawai BPR turut memaklumkan bahawa siasatan terhadap dakwaan ‘kekayaan’ seorang pegawai kanan polis itu sudah dimulakan apabila perkara itu mula timbul pada awal 2000.

Selain itu, orang ramai dilaporkan turut menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat perkara itu bagi memastikan imej dan kredibiliti pasukan polis sentiasa terpelihara.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com