Wednesday, May 18, 2005

Pelampau Yahudi mahu musnah Masjid Al-Aqsa

BAITULMAQDIS 17 Mei - Sembilan pelampau Yahudi ditangkap pada bulan lepas kerana disyaki berkomplot untuk melancarkan roket ke pekarangan Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis.

Penangkapan itu dibuat berikutan operasi yang diketuai oleh agensi keselamatan dalaman Israel, Shin Beth berasaskan maklumat tertentu.

Sekumpulan Yahudi dikatakan merancang untuk membeli satu atau beberapa peluru berpandu pemusnah kereta kebal dan melancarkannya ke Masjid Kubah Batu, kata sumber keselamatan Israel semalam.

Masjid tersebut dan Masjid Al-Aqsa terletak di pekarangan sama yang dikenali sebagai Haram Al-Sharif di kalangan umat Islam dan sebagai Bukit Kuil bagi penganut Yahudi.

Pelampau Yahudi terbabit juga cuba membeli bom tangan untuk serangan tersebut yang hendak dilancarkan dari sebuah sekolah agama Yahudi berdekatan pekarangan masjid tersebut, kata sumber.

Kebanyakan anggota kumpulan itu, termasuk tiga sekeluarga dari Baitulmaqdis ditahan selama lebih dua minggu tetapi dibebaskan tanpa tuduhan pada 22 April lalu, kata peguam mereka.

Menurut polis, salah seorang daripada mereka merupakan seorang rabai radikal.

Suspek kesembilan ditangkap kerana disyaki merancang untuk membeli sebuah kapal terbang kecil yang dikendalikan dengan alat kawalan jauh, memasang bahan letupan ke dalamnya dan membiarkannya terhempas di pekarangan Al-Aqsa.

Mufti Baitulmaqdis, Ekremah Sabri menuduh kerajaan Israel bersubahat dengan pelampau Yahudi kerana membebaskan suspek berkenaan.

``Bagaimana mereka boleh dibebaskan sedangkan mereka merancang untuk menyerang Masjid Al-Aqsa? Ada persekongkolan dalam hal ini dan ketiadaan kesungguhan,'' kata Ekremah.

Pihak berkuasa Israel semakin bimbang mengenai ancaman serangan pelampau Yahudi ke pekarangan tersebut, menjelang pengunduran askar dan pendatang haram Yahudi dari Genting Gaza pada musim panas ini.

Perkhidmatan keselamatan percaya puak pelampau mahu menyerang sasaran berprofil tinggi seperti Al-Aqsa bagi mencetuskan kemarahan dan tindak balas Palestin, sekali gus menggagalkan rancangan pengunduran Perdana Menteri Ariel Sharon itu. - Agensi

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com