Thursday, May 19, 2005

Kadar inflasi April meningkat 2.7 peratus

INFLASI pada April lalu meningkat kepada paras 2.7 peratus, sementara bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini kadarnya ialah pada 2.5 peratus.

Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mengukur inflasi di negara ini meningkat kepada 108 mata pada April lalu daripada 105.2 mata pada bulan sama tahun lalu.

Bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini pula, IHP meningkat kepada 107.7 mata daripada 105.1 mata pada tempoh sama tahun lalu.

Jabatan Perangkaan dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, semalam berkata, kenaikan 2.5 peratus dalam IHP itu berikutan kenaikan indeks semua kumpulan utama kecuali indeks pakaian dan kasut yang turun 1.2 peratus.

Indeks minuman dan tembakau naik 13.4 peratus; makanan naik 3.6 peratus serta pengangkutan dan perhubungan meningkat dua peratus.

Indeks pelbagai barang dan perkhidmatan naik 1.7 peratus; perbelanjaan rawatan perubatan dan kesihatan meningkat 1.6 peratus; perabot, hiasan dalaman dan peralatan serta pengendalian rumah bertambah 1.3 peratus; sewa kasar, bahan api dan kuasa menokok 1.2 peratus dan perkhidmatan rekreasi, hiburan, pelajaran dan kebudayaan naik 0.3 peratus.

Tiga kumpulan utama iaitu makanan, sewa kasar, bahan api dan kuasa serta pengangkutan dan perhubungan menyumbang 74.6 peratus kepada kenaikan keseluruhan yang dicatatkan dalam tempoh dikaji.

Kenyataan Jabatan Perangkaan itu berkata, berbanding bulan sebelumnya, IHP bagi April lalu naik 0.3 peratus kepada 108.0 mata daripada 107.7 mata.

Kenaikan itu terutama disebabkan peningkatan dalam indeks semua kumpulan utama kecuali sewa kasar, bahan api dan kuasa, pengangkutan dan perhubungan, manakala perkhidmatan rekreasi, hiburan, pelajaran dan kebudayaan kekal tidak berubah masing-masing pada 104.9 mata, 114.6 mata dan 101.1 mata.

Kumpulan utama yang mengalami kenaikan adalah makanan pada 0.6 peratus; perabot, hiasan dalaman dan peralatan dan pengendalian rumah 0.4 peratus; pakaian dan kasut 0.3 peratus dan perbelanjaan rawatan perubatan dan kesihatan 0.2 peratus; manakala indeks bagi minuman dan tembakau serta pelbagai barang dan perkhidmatan masing-masing 0.1 peratus. – Bernama

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com