Thursday, May 19, 2005

Perkhidmatan awam lain tidak perlu dikaji - PM

Daripada HAMZAH SIDEK

BERLIN, 18 Mei - Kerajaan tidak akan membentuk suruhanjaya diraja penambahbaikan bagi lain-lain perkhidmatan dan agensi awam, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Menurut beliau, memadailah dengan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia yang telah mengumumkan laporan hasil kajiannya Isnin lalu.

Perdana Menteri memberitahu para wartawan Malaysia pada sidang media di akhir lawatannya ke Jerman hari ini, tiada keperluan bagi mengkaji lain-lain perkhidmatan kerajaan setakat ini.

Beliau juga menyuarakan puas hatinya dengan laporan yang dibentangkan oleh Suruhanjaya Diraja Penambaikan Perjalanan dan Pengurusan PDRM.

Katanya, kerajaan akan menubuhkan jawatankuasa yang diketuai oleh beliau sendiri bagi menilai 125 syor suruhanjaya diraja itu bagi mengambil tindakan yang terbahagi kepada tiga kategori tempoh pelaksanaan _ segera, tidak terlalu lama dan jangka panjang.

Dalam masa yang sama, tambahnya, PDRM juga akan mengambil tindakan segera bagi syor-syor yang boleh dilaksanakan segera.

Beliau yakin syor-syor hasil kajian bebas itu akan dapat menjadikan PDRM sebuah pasukan polis yang maju dan cekap.

Abdullah yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri juga berharap media dan orang ramai memandang ke depan berhubung hasil kajian suruhanjaya itu dengan tidak menjadikan isu terhadap perkara-perkara buruk yang dilaporkan kerana ia telah berlalu.

Mengenai lawatannya ke Jerman, beliau juga sangat berpuas hati kerana ia berjaya untuk meningkatkan lagi hubungan erat yang sedia ada.

Selain berjumpa dengan tokoh-tokoh perniagaan, beliau juga mengetuai rundingan dua hala dengan Canselor Jerman, Gerhad Schroder dan anggota kabinetnya tengah hari ini sebelum berlepas ke The Hague bagi memulakan lawatan tiga hari ke Belanda.

Perdana Menteri berkata, hasil lawatan tersebut Malaysia dan Jerman akan menjalin kerjasama baru dalam bidang R&D, industri kecil dan sederhana, bioteknologi, di samping meningkatkan hubungan perdagangan.

Di samping itu, Malaysia juga telah menyatakan hasrat untuk menghantar lebih ramai pelajar untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang pengajian sains dan teknologi di Jerman.

Sementara itu, Schroder memberitahu sidang media bersama dengan Abdullah bahawa Malaysia adalah rakan Jerman yang sangat penting di rantau Asia, khususnya Asia Tenggara.

Beliau juga berkata, Jerman melihat Malaysia sebagai negara Islam yang berjaya mengadunkan nilai-nilai agama dengan tuntutan pembangunan dunia moden. - Utusan

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com