Thursday, May 19, 2005

Singapura buka kabaret tarian separuh bogel antarabangsa

SINGAPURA 18 Mei - Selepas membuat keputusan untuk membuka kasino mega, kerajaan Singapura kini mengambil satu lagi inisiatif mempertingkatkan industri pelancongannya dengan membuka kabaret Crazy Horse Paris yang terkenal di dunia, demikian kata sebuah firma hiburan tempatan hari ini.

Pertunjukan kabaret itu yang mengetengahkan penari-penari separuh bogel akan mula beroperasi pada Disember ini di pusat hiburan Clarke Quay, kata Pertubuhan Eng Wah dalam satu kenyataan di sini.

Pengarah Urusan Eng Wah, Goh Ming Yen berkata, Singapura berjaya mendapat hak untuk membuka kabaret itu mengatasi beberapa bandar Asia yang lain.

Menurutnya, pertunjukan kabaret itu bukan sahaja akan meningkatkan sumber pendapatan Singapura bahkan memberikan lebih banyak pilihan kepada pengunjung untuk berhibur dan melanjutkan tempoh melancong mereka di sini.

Anak kepada pengasas Crazy Horse Paris, Didier Bernandin menjelaskan, Singapura menjadi pilihan mereka kerana ia adalah pintu masuk ke benua Asia.

``Kami kini sibuk mencari individu-individu yang akan menyertai pertunjukan kabaret di Singapura dan usaha merekrut penari dari Perancis dan Asia sudah bermula,'' jelas Bernandin yang tiba untuk pengumuman itu.

Crazy Horse Paris merupakan nama yang tidak asing lagi dalam senario hiburan di Paris apabila ia pertama kali muncul lebih daripada 50 tahun yang lepas dan terkenal menghiburkan orang awam.

Bulan lepas, kerajaan Singapura memutuskan untuk membina dua kasino yang menelan pelaburan RM6.9 bilion menjelang 2009 dalam usaha mereka meningkatkan imej dan pengaruhnya dalam industri pelancongan di Asia. - AFP

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com