Thursday, May 19, 2005

Pemuda PAS tidak yakin kerajaan akan akur pada garis panduan hiburan

Oleh Roy Rasul

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Hrkh) - Pemuda PAS berharap garis panduan yang akan dikeluarkan kerajaan mengenai bentuk persembahan hiburan di negara ini wajib diikuti sekiranya ia bersesuaian dengan Islam.

Timbalan Ketua Pemuda PAS, Ustaz Idris Ahmad berkata, berdasarkan pengalaman, kalangan pemimpin Islam Hadhari dilihat lebih kepada retorik daripada melaksanakannya.
"Kita percaya berdasarkan 'track record' yang ada pada pemimpin Islam Hadhari mereka hanya beretorik dan tidak akan ikut apa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan,

"Ini terbukti sebagaimana pandangan Majlis Mufti berkenaan program 'sure heboh' yang mengatakan ia haram tetapi dilaksanakan juga," katanya semasa dihubungi Harakahdaily, semalam.

Katanya, inilah akibat dasar yang ada kepada parti pemerintah hari ini yang tidak meletakkan Islam sebagai paksi utama sehingga menyebab Islam dipinggirkan dan tidak dijadikan rujukkan dalam melaksanakan sesuatu program.

Menteri di Jabatan Perdana, Dato' Dr Abdullah Md Zin di petik sebuah akhbar harian semalam sebagai berkata, garis panduan itu wajar diperkenalkan sebagai satu cara bagi mewujudkan bentuk hiburan yang sederhana, bersih, menghiburkan dan tidak melalaikan

Menurut Ustaz Idris, sepatutnya kedudukan mufti ataupun badan berkuasa agama mesti diutamakan dalam membuat dasar bagi satu-satu program.

"Sapatutnya program-program yang berkaitan dengan agama mesti dirujuk kepada mufti dan badan penguasa agama terlebih dahulu dan keputusan yang dikeluarkan wajib dipatuhi," katanya.

Namun katanya, pelaksanaan tersebut yang baru hendak dilaksanakan berkemungkinan besar untuk menarik sokongan orang-orang agama sahaja.

"Pemuda PAS melihat ia bukan lahir daripada keikhlasan tetapi lebih kepada mainan politik," katanya lagi. - mns

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com