Sunday, June 05, 2005

Hapuskan budaya samseng sekolah

Oleh : Dr. Ishak Ibrahim

Kuala Lumpur, 04 Jun 2005 : Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) berasa kesal dengan kejadian Buli yang berlaku di Sekolah Menengah Agama Padang Tengku, Kuala Lipis, Pahang baru – baru ini.

DPPWP bersimpati terhadap nasib yang menimpa adik Muhammad Afiq Qusyairi Baharuddin, 13 yang kini terlantar di Wad Institut Kajisaraf Tunku Abdul Rahman (Neurologi) HKL. Jenayah yang dilakukan oleh samseng sekolah ini amat sukar untuk diterima oleh masyarakat.

Setelah setahun kita memperingati pemergian Allahyarham Muhammad Farid Ibrahim akibat dipukul oleh pelajar senior di Sekolah Menengah Agama (SMA) Dato' Klana Petra Ma'amor, Negeri Sembilan kejadian serupa terus berlaku lagi.

Pihak Kementerian Pelajaran perlu bertindak serius dalam mendapatkan laporan rasmi kes – kes disilpin Pelajar secara bulanan selepas ini. Kejadian seumpama ini hanyalah menambahkan trauma terhadap Ibubapa dan pelajar – pelajar Junior.

Budaya orentasi dan sesi suai kenal yang memberikan kelebihan kepada pelajar senior membuli pelajar junior haruslah dimansuhkan. Program – program induksi yang lebih berorentasikan semangat setiakawan dan kasih sayang harus diterapkan oleh semua Sekolah dan pusat pengajian di negara ini.

Pelajar – pelajar asrama harus dipantau oleh warden – warden secara lebih bertanggungjawab. Pihak sekolah dan warden asrama seharusnya bersedia untuk mendedahkan masalah disiplin pelajar kepada pengetahuan pihak Polis dan Jabatan Pendidikan Negeri agar kes – kes disiplin diperingkat Sekolah dapat diatasi.

Budaya ganas seperti ini tidak seharusnya diberikan ruang. Asrama seharusnya tidak disalahgunakan untuk melakukan aktiviti tidak bermoral ini. Justeru itu, pihak PIBG seharusnya berani menegur dan meminta laporan tahap disiplin pelajar dari pihak sekolah bagi memastikan anak – anak mereka selamat disekolah.

Kejadian ini adalah satu perkara yang amat memalukan dan pihak Sekolah berkenaan harus dipertanggungjawabkan atas kegagalan menangani masalah disiliplin pelajar mereka. DPPWP menasihatkan agar para remaja dan pelajar sekolah di negara memperbaiki diri dan disiplin agar mereka boleh melangkah jauh ke hadapan. Jangan rosakkan masa depan diri sendiri dengan menyertai aktiviti yang tidak berfaedah seperti ini. Budaya samseng haruslah dihapuskan dalam diri dan diperbaiki dengan menjadikan semangat berkasih sayang dan hormat menghormati sebagai budaya hidup.

DPPWP juga memperingatkan kepada Kerajaan BN yang angkuh memerintah negara agar mengharamkan segera penyiaran program – program yang mempromosikan keganasan. Aksi – aksi ganas yang dilakukan oleh samseng sekolah ini sebenarnya wujud akibat pengaruh filem – filem ganas yang banyak disiarkan oleh pihak penyiaran seperti RTM, ASTRO, NTV7, TV3 dan TV8.

Konsep 18SG yang pernah dikuatkuasakan oleh pihak Kerajaan sebelum ini tidak lagi dipatuhi oleh kebanyakan syarikat penyiaran dalam negara. Rancangan hiburan ganas termasuklah konsert – konsert heavy metal, rock, rap dan punk yang bukan budaya rakyat Malaysia serta penyumbang kepada perlakuan ganas haruslah diharamkan dinegara ini.

Nada – nada hiburan negara ini perlulah disederhanakan agar tidak terlalu mengundang kepada wujudnya budaya samseng serta perilaku diluar batasan kemanusian. Semoga budaya kasih saying dapat dipromosikan secara meluas bagi mewujudkan masyarakat yang dinamik di masa kini dan akan dating.

Dr. Ishak Ibrahim
Timbalan Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com