Sunday, June 05, 2005

GMI anjur roadshow anti-ISA seluruh negara

KUALA LUMPUR, 4 Jun (Hrkh) - Pelancaran Roadshow Teater Rakyat "Tok Sloo" dan "Bilik Sulit" anjuran Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dan Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat berjaya dijalankan walaupun dalam keadaan sederhana di sebuah hotel di sini malam semalam.

Pertunjukan teater dengan mesej kritikan terhadap kepimpinan negara yang menghalalkan penahanan tanpa bicara itu dijangka akan menggerakkan lagi momentum gerakan penentangan terhadap ISA di seluruh negara, yang agak kurang mendapat tempat dalam agenda beberapa parti pembangkang kebelakangan ini.
Roadshow ini, yang dimulakan di Kuala Lumpur semalam akan menjelajah seluruh semenanjung sepanjang bulan Jun ini.

Selain pertunjukan teater, majlis pelancaran itu juga menyaksikan ucapan ringkas daripada mangsa ISA dan wakil GMI, terdiri daripada Dr Nasir Hashim, pengerusi Parti Sosialis Malaysia yang juga bekas tahanan ISA semasa Operasi Lalang 1987, Syed Ibrahim dan Norlaila Othman, isteri tahanan ISA Mat Shah Mat Satray yang ditahan sejak 2002.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja GMI, Syed Ibrahim Syed Noh dalam sidang media sebelum majlis itu berkata, "Kami bersyukur menerima kehadiran orang ramai menyaksikan teater ini, tidak kira ramai atau tidak. Yang penting, mesej ini dapat disampaikan."

Mengulas mengenai kekejaman akta yang membenarkan tahanan tanpa bicara itu, Syed Ibrahim menegaskan, "Tempoh tahanan, sama ada selama 30 hari atau 60 hari tidak memberi sebarang kebaikan. ISA itu sendiri mesti dimansuhkan, kerana hak tahanan tidak terjamin apabila ditahan di bawah ISA."

Bulan lalu, sebagai reaksi kepada syor Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia, kerajaan bersetuju memendekkan tempoh tahanan ISA kepada 30 hari berbanding 60 hari pada masa ini.

Bagaimanapun, pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad itu dikecam hebat pelbagai pihak. Ini kerana selepas penahanan awal itu, tahanan boleh ditahan selama dua tahun dengan arahan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, dan penahanan ini boleh dilanjutkan tanpa sebarang proses mahkamah.

Teater 'Tok Sloo' ialah sekuel kepada 'Tok Ampoo' yang mendapat sambutan ramai semasa gerakan reformasi sedang hangat sebelum pilihan raya umum tahun 1999.

Teater baru 'Bilik Sulit', yang mengisahkan soal siasat kejam sejurus ditahan di bawah ISA menemui penonton buat pertama kali di majlis pelancaran roadshow ini malam semalam.

Kedua-dua teater arahan Hishamuddin Rais, bekas tahanan ISA yang juga terlibat dalam seni filem ini dilihat sebagai sangat sesuai dengan matlamat roadshow ini menyedarkan rakyat tentang kezaliman undang-undang tinggalan penjajah ini.

Pengarah teater ini, yang juga pengarah filem 'From Jemapoh to Manchester', ketika ditanya wartawan tentang anak muda yang melakonkannya berkata, "Mereka yang berlakon dalam teater ini adalah anak muda yang berbakat, cergas dan celik politik."

Menurut Syed Ibrahim lagi, program teater seperti ini ialah untuk merancakkan lagi kempen menentang ISA oleh GMI.

"Kita mesti bising, dengan mengadakan aktiviti seperti teater ini yang sangat bersifat politik," katanya sambil menegaskan gerakan yang bersifat satu dimensi sahaja dan mengenepikan kegiatan politik akan sukar menyampaikan mesej perjuangannya.

Sementara itu, Dr Nasir dalam ucapannya menegaskan soal prinsip penentangan terhadap ISA.

"ISA menghina semua nilai yang baik. Kalau ada ISA, negara kita sebenarnya tidak perlukan lagi Perlembagaan, kerana ISA mengatasi Perlembagaan. ISA menghina demokrasi, kebebasan dan hak asasi manusia," tegasnya.

Sambil menceritakan pengalaman buruk dihina ketika soal-siasat polis, beliau melahirkan kekesalan terhadap pemimpin negara yang mendakwa memperjuangkan kebebasan ketika berada di luar negara, tetapi bertindak sebaliknya terhadap rakyat sendiri.

"Selama kita disoal-siasat, pihak berkuasa memutar-belit tuduhan terhadap tahanan dan memaksa tahanan mengaku tuduhan tersebut," jelasnya sambil menyifatkan ISA dikekalkan oleh kerajaan untuk mengekalkan kuasa.

Norlaila pula, yang suaminya ditahan sejak tiga tahun lalu menjelaskan, tuduhan terhadap suaminya berubah-ubah sejak penahanannya pada 2002.

"Pada mulanya, dia dituduh sebagai ahli KMM, kemudian dituduh ahli Jamaah Islamiyah. Sehingga hari ini, dia sendiri tidak tahu apa tuduhan sebenarnya," katanya.

Beliau juga mempersoalkan sebab yang dikemukakan sebagai punca penahanan suaminya dilanjutkan dua tahun lagi.

"Saya diberitahu, kerana saya keluar berjumpa peguam, NGO dan sebagainya, penahanan suami saya dilanjutkan lagi dua tahun," jelasnya.

Mangsa-mangsa ISA terbabit akan berucap dalam setiap roadshow kempen menentang ISA ini.

Menurut kenyataan GMI dan pemuda PKR, roadshow seterusnya akan diadakan di Cherok To'Kun, Permatang Pauh, Pulau Pinang malam ini.

Sekretariat GMI boleh dihubungi untuk maklumat lanjut di talian 03-77843525 atau 012-5173067. - HZ/mks.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com