Monday, June 06, 2005

Rumah Putih cuba perkecil isu hina al-Quran

CRAWFORD (Texas): Rumah Putih semalam cuba memperkecilkan pendedahan baru mengenai penghinaan terhadap al-Quran di penjara Guantanamo apabila menyatakan hanya segelintir pegawai melanggar peraturan tetapi ia diperbesar-besarkan oleh media.

Ia adalah siri terbaru herdikan pentadbiran itu terhadap media berhubung penyeksaan banduan dan penghinaan al-Quran di penjara Amerika di Cuba itu. Bulan lalu, Rumah Putih menyerang Newsweek dan bertindak keterlaluan sehingga meminta majalah itu membantu memulihkan imej Amerika Syarikat (AS).

Jumaat lalu, tentera AS mendedahkan butiran mengenai lima kes membabitkan al-Quran disepak, dipijak, direndam dalam air serta dikencing.

Dalam kejadian itu, Pemerintah Wilayah Selatan AS berkata, seorang pegawai kencing berhampiran saluran udara dan angin kuat menyebabkan air kencing itu terpercik ke atas banduan yang sedang membaca al-Quran.

“Malangnya ada sebahagian yang memilih kejadian kecil yang di luar konteks yang dikemukakan segelintir individu tanpa menjelaskan dasar dan amalan majoriti atau 99.9 peratus anggota tentera kita,” kata jurucakap Rumah Putih, Scott McClellan.

McClellan berkata, beliau merujuk kepada sebahagian laporan media dan sesetengah ulasan mengenai kejadian itu.

“Banduan melakukan penghinaan al-Quran tiga kali ganda lebih banyak serta lebih serius daripada apa yang dilakukan sejumlah kecil pegawai yang melanggar dasar dan amalan tentera AS,” katanya. – Reuters/Agensi.

“Tentera mengharapkan piawaian tingginya dipatuhi dan tidak akan bertolak ansur atau membiarkannya apabila ada individu yang melanggar peraturan seperti yang dijelaskan dalam laporan itu,” kata McClellan.

Bagaimanapun, laporan Pentagon itu tidak pula menyatakan bentuk tindakan yang diambilnya terhadap anggota tentera AS yang bertanggungjawab menghina al-Quran itu.

Kenyataan tegas Rumah Putih itu dibuat seminggu selepas Presiden George W Bush menolak keras dakwaan pertubuhan hak asasi Amnesty International yang menyifatkan pusat tahanan Guantanamo (Gitmo) sebagai gulag (kem buruh paksa era Komunis Soviet) selain menuduh AS bertanggungjawab terhadap peningkatan pencabulan hak asasi dunia. Bulan lalu, Rumah Putih turut menyalahkan majalah Newsweek kerana menjatuhkan imej AS di mata dunia Islam dengan laporan mengenai tindakan penyiasat mengepam al-Quran dalam mangkuk tandas untuk memaksa banduan mengakui terhadap kesalahan yang tidak mereka lakukan.

Bekas banduan Gitmo serta peguam tahanan itu sejak sekian lama mendakwa tentera AS membuang al-Quran di dalam tandas. Malah, Pertubuhan Palang Merah Antarabangsa sejak 2002 beberapa kali mengemukakan aduan sama. – Reuters/Agensi

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com