Monday, June 06, 2005

Keng Yaik sokong bekal kondom kepada penagih

PULAU PINANG 5 Jun - Presiden Gerakan, Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik berkata, beliau menyokong cadangan Kementerian Kesihatan membekalkan jarum suntikan dan kondom secara percuma kepada penagih dadah bagi mengelak penyebaran penyakit HIV.

Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi itu berkata, sebagai seorang doktor beliau berpendapat, penggunaan kondom merupakan cara selamat bagi penghidap HIV melakukan hubungan seks.

Bagaimanapun, katanya, isu itu tidak dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pusat (CC) parti dan beliau tidak mengetahui pendirian parti berhubung cadangan tersebut.

``Secara peribadi, sebagai seorang doktor saya menyokong (penggunaan kondom) kerana boleh mengelak penularan wabak penyakit,'' katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Gerakan Pulau Pinang di Hotel City Bayview, di sini hari ini.

Hadir sama ialah Pengerusi Gerakan Pulau Pinang yang juga Ketua Menteri, Tan Sri Dr. Koh TSu Koon.

Keng Yaik mengulas cadangan Kementerian Kesihatan membekalkan bahan tersebut kepada penagih dadah mulai Oktober ini bagi mengurangkan kadar jangkitan HIV.

Bagaimanapun, cadangan tersebut tidak dipersetujui oleh Kerajaan Selangor walaupun bertujuan baik kerana ia hanya membazirkan wang rakyat.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam dan Mesra Rakyat negeri itu, Datuk Abdul Rahman Palil, cadangan tersebut bukan sahaja tidak sesuai, malah didapati tidak berkesan seperti dibuktikan di negara-negara barat yang telah melaksanakan kaedah berkenaan.

Keng Yaik berkata, cadangan tersebut telah pun mendapat persetujuan Kabinet sebelum dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan.

Katanya, pelaksanaan kaedah tersebut akan melibatkan wang tetapi `ia tidak akan membazirkan wang yang banyak'.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com