Thursday, June 09, 2005

‘Governan’ berkesan: Dewan Perhimpunan Cina pertingkat penyertaan awam

Oleh Bashir Ishak

KUALA LUMPUR, 9 Jun (Hrkh) - Dewan Perhimpunan Cina Selangor berusaha mempertingkatkan penyertaan masyarakat awam bagi melahirkan sebuah pentadbiran (governan) yang berkesan.

Dalam usahanya itu, ia akan menganjurkan ‘Pesta Kebudayaan Cina Malaysia’ kali ke-22 tahun ini dengan tema ‘Memperkembangkan Kebudayaan Berbilang Kaum, Menuju ke Masyarakat Sivil’.

Mereka juga akan mengemukakan memorandum kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU) bertajuk ‘Pentadbiran (Governan) Sempurna: Menjalin Hubungan Rakan Kongsi Dengan Masyarakat Sivil’.

Presiden Dewan Perhimpunan Cina Selangor, Dato' Bong Hon Liong dalam sidang akhbarnya di sini semalam berhubung cadangan kepada 'Rancangan Malaysia Ke-9', menyatakan mereka akan memberikan tumpuan pada memperkenalkan ideologi dan pelaksanaan masyarakat sivil.

Peranan dan fungsi masyarakat sivil bukan sahaja tidak boleh diabaikan dalam proses perkembangan Malaysia bahkan kerajaan disarankan agar membentuk hubungan rakan kongsi dengan masyarakat sivil melalui langkah-langkah terbuka dan rasional, katanya.

Memorandum yang bakal diserahkan dua minggu lagi menyentuh beberapa aspek yang difikirkan perlu bagi EPU untuk dimasukkan di dalam rangka Rancangan Malaysia Ke-9.

Menurut jurucakapnya, Ser Choon Ing masyarakat sivil terdiri daripada pertubuhan-pertubuhan masyarakat umum yang bukan dimiliki kerajaan dan negara, umpamanya pertubuhan sukarelawan, organisasi komuniti, kumpulan berkepentingan, pertubuhan bukan berasaskan keuntungan (non-profit organization) dan pertubuhan bukan kerajaan.

Terdapat empat ciri mereka iaitu bukan kerajaan, bukan bersifat keberuntungan, bebas kongkongan kerajaan dan politik dan bersifat rela hati, katanya.

Konsep pentadbiran (governan) dan bukannya pemerintahan (government) haruslah diterapkan oleh kerajaan dengan lebih mementingkan pengagihan kuasa dan bukannya pemusatan kuasa, katanya.

Konsep pentadbiran sempurna pula mempunyai polisi yang berunsur keabsahan (legitimacy), ketelusan (transparency), kebertanggungjawaban (accountability) dan berprinsipkan undang-undang (rule of law), katanya.

Belanjawan yang dibentangkan pada tahun 2005 memperuntukkan sebanyak RM9.64 juta kepada NGO.

Namun begitu banyak organiasai yang tidak sependapat dengan kerajaan tidak menikmati peruntukan itu, katanya.

Beliau berkata hakikatnya, NGO yang berpandangan kritis seperti Suaram, Aliran, Dong Jiao Zong dan Just adalah penting dalam pembangunan semula masyarakat sivil.

Antara cadangan yang terdapat di dalam memorandum tersebut ialah adanya suasana undang-undang yang mesra dan toleransi, memberi ganjaran dan subsidi kepada pertubuhan sivil dan NGO dan membenarkan masyarakat sivil mengambil bahagian dalam penggubalan dasar.

Selain itu ia menjamin kebebasan dan autonomi pertubuhan sivil dan NGO daripada sebarang ancamam, melantik wakil daripada pertubuhan sivil atau NGO sebagai senator, memulihkan semula pilihan raya kerajaan tempatan, potongan cukai, latihan dan kemudahan pentadbiran, memansuhkan ISA dan OSA, menjamin kebebasan akhbar serta monopoli media dan wujudkan suruhanjaya bagi pemantauan parlimen, katanya. – lanh

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com