Thursday, June 09, 2005

Pemberian kondom percuma perlu bersyarat

KUALA LUMPUR 8 Jun - Kerajaan negeri Perak, Melaka dan Perlis mahukan cadangan Kementerian Kesihatan untuk memberi kondom secara percuma kepada penagih dadah bagi mengurangkan jangkitan HIV perlu dihadkan kepada mereka yang sudah berkahwin sahaja.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghaai berkata, pihaknya menyetujui langkah pemberian itu jika kondom tersebut diberikan kepada mereka yang telah berkahwin, agar menepati hukum-hakam Islam.

``Islam haramkan hubungan seks antara mereka yang belum berkahwin, kalau beri kepada suami tak apa tapi kalau beri pada yang belum kahwin tak sesuailah,'' katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri di Ipoh, Perak hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Chua Soi Lek, Khamis lalu yang mencadangkan agar penagih dadah di negara ini diberikan jarum suntikan dan kondom percuma di bawah program perintis selama enam bulan.

Program itu melibatkan 1,200 penagih dadah, terutama mereka yang mengambil dadah melalui suntikan, dengan memberikan mereka jarum suntikan, kondom dan dadah gantian yang dipanggil `methadone'.

Sebelum ini, hanya Melaka bersetuju dengan cadangan itu, kerajaan negeri Selangor dan Terengganu menolak manakala negeri-negeri lain masih dalam pertimbangan.

Bagaimanapun ketika bercakap kepada pemberita di MELAKA hari ini, Ketua Menterinya, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berharap rancangan Kementerian Kesihatan itu perlu dilaksana berlandaskan hukum Islam.

``Kita mahu kondom yang diberi kepada penagih dadah hendaklah mereka yang sudah berkahwin, beragama Islam dan sah dijangkiti HIV.

``Janganlah pula beri kepada penagih yang belum berkahwin, itu sudah salah dan bercanggah dengan peraturan agama malah ia seperti menggalak perbuatan seks bebas,'' katanya.

Kelmarin, Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria berkata, bahawa cadangan itu tidak wajar dilaksanakan kerana ia tidak akan membawa kebaikan kepada penagih dan masyarakat.

``Kalau (penagih) ada isteri, tiada bantahan dari segi agama (berhubung penggunaan kondom), yang haram ialah hubungan seks zina kepada pasangan belum berkahwin,'' katanya.

Di PERLIS, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Datuk Abu Bakar Ismail berkata, pemberian kondom dan jarum suntikan tersebut tidak sewajarnya diberikan kepada pembawa virus HIV dan penagih dadah yang masih bujang.

Tegas beliau, pemberian bekalan tersebut tanpa mengambil kira status perkahwinan akan menggalakkan lagi berlakunya hubungan seks bebas di kalangan mereka.

Di PULAU PINANG, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Abdul Rashid Abdullah berkata, kerajaan perlu menjalankan kajian secara menyeluruh dan terperinci sebelum melaksanakan cadangan pemberian kondom dan jarum percuma kepada penagih dadah di negara ini.

Abdul Rashid, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Negeri berkata, beliau bersetuju cadangan pemberian jarum percuma itu dilaksanakan sekiranya ia dapat mengurangkan bilangan pesakit AIDS dan penagih dadah.

``Kalau cara itu tidak dapat mengurangkan bilangan penagih dadah dan pesakit AIDS, saya tidak bersetuju,'' katanya.

Beliau juga membantah cadangan pemberian kondom secara percuma kerana ini akan menyebabkan berleluasanya kegiatan seks rambang.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Hassan Omar berkata, pemberian jarum dan kondom percuma dikhuatiri menyebabkan merebaknya bilangan penagih dadah dan perlakuan seks rambang kerana bahan itu mudah diperoleh.

Sementara itu di SABAH, Pengerusi Anti Dadah dan Gejala Sosial UMNO negeri, Datuk Bung Moktar Radin turut menolak cadangan berkenaan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, cadangan seumpama ini tidak praktikal kerana pemberian percuma jarum suntikan dan kondom akan menggalakkan penagih meneruskan tabiat buruk, katanya.

Katanya, langkah itu juga bertentangan dengan usaha kerajaan untuk membanteras gejala itu habis-habisan.

``Ia bukan sahaja tidak dapat membasmi kegiatan penagihan dadah secara akar umbi malah akan meningkatkan perbuatan maksiat,'' katanya.

Sehubungan itu, Bung Moktar berharap kerajaan negeri menolak cadangan berkenaan demi kebaikan bersama dan supaya memastikan komitmen untuk membasmi dadah secara habis-habisan terlaksana.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com