Thursday, June 09, 2005

Jangan ikut Iran, China beri jarum percuma

PROGRAM Mengurangkan Kemudaratan Kesihatan kepada Penagih Dadah yang bakal dilancarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia menjelang Oktober tahun ini perlu diteliti oleh semua pihak di negara ini. Cadangan mengedarkan jarum suntikan, kondom dan dadah gantian jenis methadone lebih dilihat sebagai faktor penggalak daripada menjadi faktor pengurang.

Respons dalam akhbar memperlihatkan pro dan kontra isu ini. Setakat Isnin, yang membantah syor ini atas dasar bercanggah dengan nilai agama, di pihak kerajaan negeri adalah Selangor, Terengganu dan Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan. Kementerian Keselamatan Dalam Negeri dan kerajaan negeri Sabah pula akan mengambil pandangan semua pihak dan langkah mengkaji serta meneliti keberkesanan cadangan tersebut sebelum dilaksanakan.

Seorang menteri, iaitu Datuk Sri Dr. Lim Keng Yaik dan Ketua Menteri Melaka, menyokong penuh pelaksanaan program itu.

Terbaru, Pengerusi Yayasan AIDS Malaysia, Datin Paduka Marina Mahathir menyokong dengan menyatakan Iran dan China yang berjaya mengurangkan kadar penagihan dadah di negara itu melalui program pengedaran jarum suntikan percuma. Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Datuk Dr. Ismail Ibrahim pula mengesyorkan agar hanya jarum suntikan yang diberi secara percuma terlebih dahulu dan pemberian kondom ditangguhkan untuk mengelak kemaksiatan yang bakal berlaku akibatnya.

Turut mengeluarkan kenyataan, kerajaan negeri Perak melalui muftinya, Datuk Seri Harussani Zakaria yang menolak cadangan itu atas dasar ia amat tidak wajar dilaksanakan kerana program itu bakal mengundang kepada permasalahan akhlak yang dahsyat termasuk perzinaan. Dua kerajaan negeri yang baru memberi komen, Pahang; menggesa agar Kementerian Kesihatan mengkaji secara mendalam pelaksanaan projek itu, manakala Pulau Pinang meminta perkara ini dirujuk terlebih dahulu ke meja persidangan Majlis Fatwa Kebangsaan kerana ia membabitkan isu sensitiviti umat Islam di negara ini.

Daripada pendirian pihak-pihak di atas, jelas terdapat tiga kumpulan utama yang memberi respons terhadap isu ini. Yang menyokong, mengatakan kos memberi jarum, kondom dan dadah gantian methadone jauh lebih murah daripada menyembuhkan sepenuhnya ribuan penagih dadah secara total.

Golongan kedua pula membantah syor ini kerana bertentangan dengan nilai-nilai Islam, dan yang ketiga meminta ia dibincangkan lebih lanjut.

Kita sebagai orang awam, harus meletakkan diri di dalam golongan yang mana? Kita harus sedar bahawa kita adalah merupakan golongan yang paling hampir mendapat kebaikan mahupun risiko daripada pelaksanaan program ini.

Pemberian jarum dan kondom percuma memang dilihat berkesan mengurangkan kesan jangkitan HIV di sesetengah negara. Wajarkah perbandingan ini? Iran merupakan negara majoriti menganut fahaman Syiah dan China pula majoritinya dari satu kaum.

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dengan tegas menolak cadangan pelaksanaan program ini, tetapi dalam masa yang sama mencadangkan perlu adanya perbincangan menyeluruh untuk meluluskan mana-mana dasar yang membabitkan keselamatan fizikal, mental, mahupun spiritual orang awam, dan umat Islam khususnya. Adalah juga dicadangkan agar ruang masa untuk membincangkan isu ini diperpanjangkan sebelum ia diluluskan dengan mengajak Majlis Fatwa Kebangsaan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), ketua-ketua agama dan ahli akademik duduk semeja. Bukankah ini lebih merakyat sifatnya?

PKPIM juga menyarankan penguatkuasaan undang-undang dan pendidikan kepada penagih dan bakal penagih dadah adalah lebih efektif berbanding memberi `stok' bekalan jarum percuma kepada penagih. Adalah dikhuatiri mana-mana penagih yang kehabisan jarum bersih, akan datang ke hospital mahupun klinik untuk mendapat bekalan jarum baru, malah bertambah seronok pula bila tahu bahawa ada yang seakan `menyokong' mereka untuk terus menagih. Adakah kita dapat memastikan stok jarum bersih yang dibekalkan hanya akan digunakan oleh seorang penagih sahaja? Dalam keadaan seronok atau gian, pertimbangan bersih atau kotor jarum akan ditolak ke tepi, yang penting, kenikmatan bagi mereka, mesti `dikongsi' bersama.

Allah s.w.t jelas menyatakan sesungguhnya al-Quran itu adalah Asy-Syifa' atau penyembuh untuk segala jenis penyakit. - SYED MIKAEL RIZAL AIDID, Majlis Tarbiyah, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com