Thursday, June 09, 2005

Selamatkan industri pengangkutan awam

KESATUAN Pekerja-Pekerja Pengangkutan (TWU) yang mewakili kepentingan kolektif pekerja-pekerja industri pengangkutan awam Malaysia sejak 1958, sangatlah bimbang dengan keadaan sistem pengangkutan awam di negara ini yang semakin merosot dan menyedihkan. Tidak hairan jika dalam masa terdekat industri ini akan tergolong dalam ``industri senja'' sekiranya langkah pemulihan yang segera tidak diambil oleh Kerajaan.

Industri pengangkutan awam di Malaysia sejak dahulu lagi telah berdepan dengan masalah-masalah berikut:

Pengeluaran permit dan lesen pengangkutan awam yang terlalu banyak kepada syarikat-syarikat yang lebih `kenal siapa' daripada yang tahu dan faham selok-belok industri.

Tiada ketegasan dan ketetapan di dalam pembentukan, pelaksanaan dan penguatkuasaan dasar oleh pihak-pihak berkuasa yang berkenaan.

Bidang kuasa yang bertindih berhubung pengeluaran lesen, pengesanan, pengujian kenderaan dan penguatkuasaan.

Kos operasi yang meningkat akibat daripada peningkatan begitu mendadak harga diesel dan alat-alat ganti kenderaan. Kenaikan kadar tambang penumpang dan barang-barang yang baru diluluskan tidak berupaya menyaingi kenaikan ini. Walaupun kadar tambang ke atas penumpang dinaikkan sebanyak 20 peratus tetapi harga runcit diesel pula melambung naik 23 peratus.

Jumlah penumpang sangat sedikit, terutama di laluan pedalaman dan laluan dalam bandar yang berlebihan perkhidmatannya. Malah untuk mencapai kadar penumpang yang paling minimum pun sangat sukar kepada para pengendali bagi membolehkan perkhidmatan mereka bertahan.

Sememangnya terdapat banyak lagi sebab-sebab lain, namun sebab-sebab di atas adalah yang paling kritikal.

Situasi di seluruh negara sangat-sangatlah membimbangkan. Banyak syarikat bas telah memberhentikan perkhidmatan mereka akibat kos operasi yang tidak lagi berupaya mereka tanggung. Di Pulau Pinang, seluruh sistem pengangkutan bas telah lumpuh apabila syarikat Hin Bus, Yellow Bus, Lim Seng Bus, Kenderaan Juara, Kiara Tuah dan Kiara Melati telah menamatkan perkhidmatan. Situasi ini juga tidak kurang buruknya di Kedah dan Perlis, memandangkan syarikat Kubang Pasu Transport, Perlis Transport dan Kuala Kedah Transport telah menyatakan bahawa mereka mungkin terpaksa menamatkan perkhidmatan mereka sekiranya situasi tidak menunjukkan sebarang peningkatan.

Syarikat-syarikat bas di Johor pula berusaha untuk menggabungkan perkhidmatan mereka bagi terus bernafas dan hasil usaha mereka sedang kami nantikan.

Di Selangor, Foh Hup Omnibus, Toong Fong Bus dan Len Bus telah gulung tikar. Len Seng Omnibus, dan banyak lagi syarikat di Selangor dan Pulau Pinang, telah mengkontrakkan permit mereka, begitu juga bas-bas mereka, kepada pengendali individu pihak ketiga mengikut sistem berasaskan komisen. Oleh itu, mereka tidak mempunyai kuasa penyeliaan langsung ke atas kekerapan dan mutu perkhidmatan.

Dalam pada itu, ``konsortium pengangkutan'' yang dilaung-laungkan oleh kerajaan juga tidak membawa hasil yang menggalakkan. Sekitar lewat 90-an, beberapa syarikat bas di Lembah Klang telah digabungkan di bawah Intrakota Consolidated dan diuruskan oleh Diversified Resources berhad (DRB). Ini diikuti oleh Park May Berhad. Intrakota tidak lebih dari sekadar gabungan _ ia terbeban oleh perbelanjaan modal yang terlalu besar yang terjadi kerana syarikat membeli bas-bas buatan luar negeri yang sangat mahal (sedangkan terdapat bas-bas buatan tempatan yang lebih murah); alat-alat ganti yang sama mahalnya dan kos penyelenggaraan kenderaan yang melambung tinggi; bilangan bas yang tidak mencukupi untuk memberi perkhidmatan di laluan yang `diperoleh', sistem `pemandu berseorangan' yang tidak efektif yang menyebabkan kelewatan perjalanan dan bahaya ke atas keselamatan di jalan raya; pemandu yang tidak mencukupi dan pelbagai lagi masalah logistik yang berkaitan.

Semua ini, dan banyak lagi telah mendatangkan bermacam-macam kesulitan dan kekecewaan kepada para pengguna yang bergantung kepada bas sebagai satu-satunya kaedah pengangkutan mereka. Golongan berpendapatan rendah bukan sahaja perlu menanggung kadar tambang yang lebih tinggi, tetapi juga terpaksa berdepan dengan perkhidmatan bas yang tidak menentu serta tidak boleh diharapkan. Perjalanan lancar nampaknya semakin sukar untuk dicapai pada tahun-tahun yang mendatang. Jalinan pengangkutan yang mudah dan selesa kekal sebagai satu mimpi sahaja.

Lantaran itu, semua padah dari kemelut ini terpaksa ditanggung oleh pekerja-pekerja industri pengangkutan. Kehilangan pekerjaan dalam industri ini sangatlah besar, dengan sistem pemandu berseorangan yang menghapuskan konduktor di atas bas-bas perkhidmatan bandar dan luar bandar. Banyak syarikat telah bertindak mengurangkan jumlah pekerja mereka bagi mengurangkan kos. Syarikat-syarikat haulage pula telah meminta pekerja-pekerja yang berkesatuan supaya tidak menuntut untuk memperbaharui perjanjian bersama masing-masing kerana kos operasi yang meningkat, terutamanya harga diesel, telah mengurangkan margin pendapatan dengan begitu ketara sekali. Situasi ini secara keseluruhannya bolehlah dikatakan sangatlah tenat. Kami khuatir dengan industri pengangkutan jalan di Malaysia yang kini memerlukan bantuan intensif, ia perlu diselamatkan dan dipulihkan ke tahap yang memuaskan dengan segera.

Kerajaan haruslah melihat serta mencontohi sistem pengangkutan awam di negara-negara maju dan memperkenalkan pelaksanaan terbaik mereka di Malaysia. Pengangkutan awam dianggap sebagai satu perkhidmatan perlu di negara-negara tersebut. Oleh itu, ia tidak harus dibiarkan tertakluk dan terumbang-ambing oleh kuasa pasaran yang tidak menentu.

Atas sebab itu, kami ingin memberi pandangan dan cadangan seperti berikut:

Perbelanjaan modal, pembangunan infrastruktur dan pembelian aset yang berkaitan dengan syarikat bas hendaklah dianggap sebagai pelaburan jangka panjang atau modal pemegang saham dan tidak dianggap sebagai ``Akaun Diterima'' atau ``Tanggungan Jangka Panjang'' di dalam buku kira-kira syarikat-syarikat holding dan penyedia perkhidmatan masing-masing.

Sistem pengangkutan awam di negara maju menikmati banyak subsidi dan potongan cukai ke atas kenderaan dan alat-alat ganti. Dengan itu menjadikan ia sebagai satu kaedah pengangkutan pilihan bagi para pengguna kerana mereka boleh menikmati perkhidmatan yang murah, selamat, selesa dan lancar yang bebas dari kesesakan lalu lintas dan tekanan.

Satu sistem pengangkutan yang cekap dapat mengurangkan pencemaran ke atas alam sekitar, mengurangkan kesesakan lalu lintas, mengurangkan penggunaan bahan api, memulihkan masalah kewangan yang dihadapi oleh golongan berpendapatan rendah dan memperbaiki kualiti hidup keseluruhannya. Kerajaan haruslah mempunyai kesungguhan politik untuk memperakui kelebihan sistem pengangkutan awam yang cekap dan menggalakkan pembangunannya sebagai satu pemangkin kualiti hidup dan tidak tunduk kepada tekanan pihak-pihak yang berkepentingan.

Banyak bas di Malaysia telah melalui tahun-tahun yang cemerlang, namun kini tidak lagi. Bas-bas yang ada kebanyakannya telah bocor bumbung, kerusi yang patah dan koyak, penghawa dingin yang tidak sejuk, palang cermin yang patah dan asap ekzos yang hitam pekat.

Bas-bas ini mengingatkan pelancong-pelancong asing sistem pengangkutan awam primitif yang mereka lihat di sesetengah negara mundur di Asia dan Afrika. Tanggapan sedemikian sudah tentu tidak akan menyumbang kepada penggalakkan industri pelancongan negara, yang mana sangat bergantung kepada imej luaran sistem pengangkutan awam yang lancar, selesa serta boleh diharapkan. Bas-bas ini sepatutnya dikeluarkan dari jalan raya kita dan digantikan dengan bas-bas yang berenjin suntikan bahan api, lebih selesa dan luas.

Justeru itu, sudah sampai masanya bagi kerajaan menubuhkan satu Jawatankuasa Kabinet Pengangkutan Awam di peringkat tinggi bagi menjalankan satu kajian komprehensif ke atas sistem pengangkutan awam Malaysia dan melaksanakan perubahan yang tersusun dan berstruktur. Sungguh malang bahawa Malaysia tidak mempunyai satu Dasar Pengangkutan Kebangsaan atau satu Pelan Induk Pengangkutan Kebangsaan bagi menangani isu-isu ini dengan lebih jelas dan konsisten. - ZAINAL RAMPAK, Setiausaha Agung, Kesatuan Pekerja-Pekerja Pengangkutan, Semenanjung Malaysia.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com