Friday, June 10, 2005

Pelan struktur pembangunan industri makanan halal

LAPORAN PARLIMEN KESEBELAS
27 April 2005

Dato’ Wan Adnan bin Wan Mamat [Indera Mahkota] minta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri menyatakan apakah pelan struktur pembangunan industri makanan halal negara telah dilaksanakan dan apakah peranan yang dapat dimainkan oleh rakan-rakan ASEAN bagi memantapkan lagi program pembangunan industri ini di Malaysia .

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri [Dato' Haji Ahmad Husni bin Mohd. Hanadzlah]: Tuan Yang di-Pertua, kerajaan berhasrat membangunkan seluruh Malaysia sebagai hak pengeluaran produk halal yang berpotensi dari sumber dan kredibiliti. Selaras dengan ini Jemaah Menteri pada 2 Oktober, 2002 telah melantik Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri atau MITI menerajui penyelarasan strategi dan program pembangunan hak halal melalui penekanan kepada peranan kementerian serta agensi kerajaan perundangan, persijilan, logo, sistem prosedur pembangunan institusi standard dan akreditasi insentif penglibatan industri penjenamaan dan promosi dan pengiktirafan dan kerjasama antarabangsa.

Tuan Yang di-Pertua, berhubung peranan kementerian dan agensi kerajaan melalui jawatankuasa teknikal menjadikan Malaysia hub pengeluaran produk halal yang dipengerusikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Peranan 14 agensi kerajaan persekutuan dan semua kerajaan negeri diselaraskan untuk melaksanakan elemen-elemen pembangunan hak halal.

Antara kementerian dan agensi yang terlibat termasuk Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Jabatan Kemajuan Islam, Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Standard Malaysia (JSM). Pada 15 Januari, 2004 logo halal Malaysia telah didaftarkan certification mark di bawah Akta Cap Dagangan 1976. JAKIM telah diberi hak milik logo halal Malaysia dan sijil halal JAKIM kini mempunyai ciri-ciri keselamatan yang direka oleh SIRIM. Dari segi perundangan dan prosedur Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna turut meminda peruntukan di bawah Akta Perihal Dagangan 1975 bagi mengelakkan penyalahgunaan perkataan halal oleh pengeluar produk-produk dan pengusaha premis.

JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri juga telah menyeragamkan logo, prosedur, persijilan, borang permohonan, caj persijilan dan melanjutkan tempoh sah sijil halal JAKIM Jabatan Agama Islam negeri dari setahun ke dua tahun. Tuan Yang di-Pertua, bagi memantapkan lagi program pembangunan industri halal negara, Malaysia turut bekerjasama dengan negara ASEAN lain dalam meningkatkan pengiktirafan antarabangsa terhadap logo dan produk halal Malaysia. Antara inisiatif diadakan termasuk penubuhan kumpulan kerja mengenai makanan halal yang mana Malaysia berperanan sebagai urus setia. Antara projek-projek yang akan dilaksanakan untuk oleh kumpulan kerja ini ialah mengujudkan sistem akreditasi bagai pengeluar-pengeluar makanan halal Asian, pendaftaran senarai pengawet halal, pembangunan sumber manusia dan pertukaran maklumat.

Kerajaan juga bertujuan menjadikan standard halal Malaysia untuk persijilan halal sebagai tanda aras untuk mewujudkan satu standard global. Tuan Yang di-Pertua, penekanan kepada pembangunan hub halal terkanun dalam Pelan Induk Perindustrian II dan Dasar Pertanian Negara. Pelan Induk Persendirian III yang sedang disediakan akan terus memberi penekanan terhadap sektor ini.

Terima kasih.

Tuan Haji Ismail bin Noh: Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih Timbalan Menteri yang telah menerangkan kesanggupan Malaysia untuk menjadi negara yang membekalkan makanan halal ke seluruh negara ASEAN dan seluruh dunia. Apa yang saya timbulkan pada pagi ini iaitu sejauh manakah penguatkuasaan kita pada mana-mana badan yang akan diberi tanda halal untuk membekalkan makanan halal ke negara ASEAN dan seluruh negara.

Sekian, terima kasih.

Dato' Haji Ahmad Husni bin Mohd. Hanadzlah: Tuan Yang di-Pertua, ada beberapa pendekatan yang diambil oleh kerajaan pertama memperkukuhkan dari segi penguatkuasaan dengan menambah pegawai di JAKIM dan juga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri. Dari segi JAKIM seramai lebih kurang 600 pekerja akan diambil untuk tujuan tersebut. Manakala dari segi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna seramai daripada 1,200 orang lebih kurang pekerja akan ditambah kepada lebih 5,000 dalam tempoh lima hingga tujuh tahun.

Di samping itu dari segi kedudukan global, pengeluar produk-produk halal di negara lain, kita mengadakan kerjasama dengan 21 buah negara melibatkan badan-badan yang memberi persijilan dan kita mengiktiraf persijilan tersebut. Tuan Baharum bin Mohamed: Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Apabila kita menyebut produk halal, kita hanya bergantung kepada tumpuan kita kepada makanan halal sahaja tetapi kita jarang-jarang sekali menyebut tentang produk kita seperti barang-barang kita daripada kulit, daripada kain dan sebagainya yang di cop tanda halal.

Setakat hari ini dalam pasaran saya tidak nampak lagi ada barang-barang seperti kulit dan sebagainya yang ditandakan tanda halal kerana barang-barang seperti ini adalah amat penting bagi pengguna-pengguna umat Islam terutamanya di Timur Tengah ataupun di negara-negara Islam yang lain. Tapai kalau sekiranya kita sebagai negara Islam yang boleh mengeluarkan produk halal ini saya percaya akan menarik lagi pembeli-pembeli atau pelabur-pelabur untuk datang ke negara kita. Saya hendak bertanya kepada Yang Berhormat Timbalan Menteri sejauh manakah keadaan ini ataupun produk halal ini dikeluarkan daripada negara kita.

Terima kasih.

Dato' Haji Ahmad Husni bin Mohd. Hanadzlah: Tuan Yang di-Pertua, maksud halal di sini tidak tertumpu semata-mata kepada industri makanan, ia meliputi makanan dan juga produk-produk konsumen seperti kosmetik, farmasi, kulit dan sebagainya. Untuk makluman dari segi saiz pasaran untuk produk halal keseluruhannya bukan makanan semata-mata lebih kurang USD2.1 trilion. Manakala dari segi makanan USD150 bilion. Yang Berhormat nyatakan tidak terdapat dalam produk-produk lain mungkin kerana pada masa ini tumpuan oleh pengusaha adalah dalam bidang-bidang makanan.

Walau bagaimana pun kementerian sebenarnya memang menggalakkan umpamanya dari segi kulit. Ada pengeluar-pengeluar yang menghasilkan produk kasut umpamanya yang meletakkan ini ada elemen-elemen yang tidak halal dan kita menggalakkan supaya kita mengeluarkan produk kulit yang halal supaya ini dapat dipasarkan bukan sahaja di Malaysia malahan di seluruh dunia.

Dato' Wan Adnan bin Wan Mamat: Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Soalan saya seterusnya apakah daya usaha kementerian untuk meningkatkan had halal Malaysia ini di peringkat antarabangsa?

Terima kasih.

Dato' Haji Ahmad Husni bin Mohd. Hanadzlah: Tuan Yang di-Pertua, ada dua pendekatan penting yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan.

Yang pertama, untuk meningkatkan standard halal kita untuk menjadi satu benchmarking di peringkat dunia dan ini memerlukan beberapa strategi, pertama, mendapat pengiktirafan daripada beberapa buah negara Islam yang utama seperti Arab Saudi, Mesir, Pakistan dan sebagainya.

Yang kedua, untuk mendapat pengiktirafan OIC melalui mesyuarat pegawai-pegawai kanan yang akan diadakan pada bulan Mei dan seterusnya di OIC Summit. Di samping itu kita melihat di sudut untuk mendaftar dengan WIPO standard halal tersebut dan juga dengan negara-negara utama yang membeli produk halal seperti di Amerika Syarikat, Eropah, Timur Tengah dan sebagainya. Ini adalah usaha-usaha yang dijalankan untuk meningkatkan standard Malaysia kepada peringkat antarabangsa.

Yang ketiga, dari segi kapasiti pengeluaran, kita tahu pada peringkat ini kapasiti pengeluaran halal negara kita tidak begitu tinggi, walaupun dari segi makanan yang diproses kita mengeksport lebih kurang RM6 bilion setahun berdasarkan kepada figure pada tahun 2004. Tetapi dari segi produk halal yang dieksport tidak begitu besar. Sehubungan dengan itu, kerajaan menyediakan insentif dalam pelbagai bentuk dari segi pinjaman, geran pasaran dan sebagainya supaya sektor swasta mengambil daya inisiatif untuk meningkatkan daya mampu pengeluaran produk halal kita, kerana kita tahu dari segi ekonominya kita berada dalam ekonomi pasaran dan orientasi kepada pengeluaran produk halal ini dijalankan oleh pihak swasta.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com