Friday, June 10, 2005

Dirantai, didera dan dibiarkan mati dalam kurungan

Oleh: Tim Golden (Akhbar The Guardian)

Walaupun pemuda Afghan itu sedang bertarung dengan maut di depan mata mereka, pegawai-pegawai penjara Amerika itu terus menyiksanya. Tahanan tersebut, seorang pemandu teksi berusia 22 tahun, bertubuh kecil, hanya dikenali sebagai Dilawar, telah diheret dari sel beliau di pusat tahanan di Bagram, Afghanistan, pada sekitar jam 2 pagi bagi menjawab soalan-soalan mengenai satu serangan roket ke atas sebuah pangkalan Amerika.

Ketika tiba di bilik interogasi, seorang penterjemah yang hadir telah berkata, kaki pemuda itu terhenjut-enjut tidak terkawal di kerusi plastik dan tangannya kaku. Dia telah dirantai pada pergelangan tangannya ke siling selnya sejak empat hari sebelumnya.

Dengan menurut perintah seorang penyoal siasat, seorang pengawal cuba memaksa pemuda itu berlutut. Malangnya kakinya, yang telah dibelasah oleh para pengawal selama beberapa hari, tidak mampu lagi untuk membengkok. Seorang penyoal siasat memberitahu Dilawar yang dia boleh berjumpa seorang doktor setelah mereka selesai menyoalnya. Bagaimanapun, apabila dia akhirnya dihantar semula ke selnya, pengawal-pengawal diarahkan merantainya semula ke siling.

Beberapa jam kemudian seorang doktor bilik kecemasan mengunjungi Dilawar. Pada masa itu dia telah pun menemui ajalnya. Hanya beberapa bulan kemudian barulah penyiasat tentera mengetahui butir-butir terperinci mengenainya yang mengejutkan: kebanyakan penyoal siasat percaya bahawa Dilawar hanyalah seorang lelaki tidak berdosa yang memandu teksinya melintasi pengkalan Amerika pada masa yang kurang tepat.

Kisah kematian Dilawar – dan seorang lagi tahanan, Habibullah, yang mati enam hari lebih awal pada Disember 2002 – timbul dari sebuah fail sulit penyiasatan jenayah tentera ke atas kes itu setebal 2,000 muka surat, yang mana senaskhah daripadanya telah diperolehi oleh The New York Times.

Fail Bagram memberi gambaran tentang askar-askar muda yang kurang latihan di dalam beberapa kejadian penyiksaan berulang kali. Layanan buruk, yang telah mengakibatkan sabitan jenayah ke atas tujuh orang askar, melangakui jauh daripda dua kematian ini.

Di dalam beberapa contoh, beberapa keterangan menunjukkan, ianya diarahkan atau dilakukan oleh para penyoal siasat untuk mendapatkan maklumat. Bagi yang lainnya, ianya merupakan hukuman yang dilaksanakan oleh pengawal polis tentera.

Ada kalanya, siksaan itu kelihatannya datang dari hanya sedikit kebosanan atau kekejaman, atau kedua-duanya sekali.

Di dalam kenyataan bersumpah kepada para penyiasat tentera, askar-askar menghuraikan tentang seorang penyoal siasat wanita yang memijak leher seorang tahanan yang sedang meniarap dan menendang seorang lagi di bahagian sulitnya. Mereka menceritakan tentang seorang banduan yang digari dipaksa berguling ke depan dan belakang di lantai sel, dengan mencium kasut but dua orang penyoal siasatnya setiap kali. Tetapi seorang lagi banduan diarahkan mengambil tutup botol plastik dari sebuah tong yang berisi najis bercampur air sebagai sebahagian strategi untuk melemahkannya.

Fail tersebut menyatakan sesetengah layanan zalim itu agak ketara. Para pegawai kanan seringkali membuat lawatan ke pusat tahanan tersebut, dan beberapa orang daripada mereka mengakui melihat banduan dirantai sebagai hukuman atau untuk mengelakkan mereka dari tidur.

Pada penghujung Ogos 2002, para penyiasat Bagram disertai oleh sebuah unit polis tentera yang baru. Askar-askar tersebut, kebanyakannya anggota simpanan dari Syarikat Polis Tentera ke 377 yang berpengkalan di Cincinnati dan Bloomington, Indiana, tidak bersedia untuk misi mereka, ujar anggota-anggota unit itu.

Apabila tiba di Afghanistan, anggota-anggota ke 377 mendapati peraturan biasa nampaknya tidak berguna. Tendangan peroneal – satu tendangan yang berpotensi mencacatkan pada bahagian tepi kaki, di bawah sedikit daripada lutut – dengan pantasnya menjadi senjata asas di dalam pertahanan mereka. Mereka mendakwa tidak pernah diberitahu yang ianya bukan sebahagian daripada doktrin tentera.

Tahanan yang dikenali sebagai Orang di Bawah Kawalan No. 412 merupakan pemuda Afghan yang tegap dan berperawakan kemas bernama Habibullah. Sebahagian pegawai Amerika mengenalinya sebagai Habibullah “Mullah”, adik kepada seorang komander Taliban dari wilayah selatan Oruzgan.

Dokumen-dokumen dari penyiasatan menunjukkan yang Habibullah ditangkap oleh seorang panglima perang Afghan pada 28 November 2002, dan dihantar ke Bagram oleh pegawai operasi CIA dua hari kemudian.

Habibullah dikenal pasti sebagai seorang banduan penting dan tidak seperti yang lain, dia bermulut lancang dan degil. Dia digari di pergelangan tangannya ke siling wayar di selnya, jelas para askar.

Pada hari keduanya, 1 Disember, banduan tersbeut masih lagi “enggan bekerjasama”, kali ini dia bersama Specialist Willie V Brand. Pengawal tersebut, yang kemudiannya disabitkan menyiksa dan jenayah lain, memberitahu penyiasat yang dia telah memberikan tendangan peroneal sebagai balasan. Hari selepasnya, Specialist Brand berkata, dia terpaksa menendang lutut tahanan itu lagi. Ini diikuti dengan tendangan yang lain pula.

Menjelang 3 Disember, reputasi Habibullah yang suka melawan nampaknya menjadikan dia sebagai sasaran terbuka. Seorang MP menyatakan telah memberikannya lima tendangan peroneal kerana “tidak mendengar kata dan suka melawan”. Seorang yang lain pula menendangnya tiga atau empat kali lagi kerana “melawan dan tidak menurut kata.’ Beberapa orang pengawal lain pula kemudiannya menegaskan yang dia dicederakan kerana cuba melepaskan diri.

Apabila Sarjan James P Boland mengunjungi Habibullah pada 3 Disember, dia berada di salah sebuah sel berasingan, ditambat ke siling dengan dua set gari dan rantai di pinggangnya. Tubuhnya terhenyak ke hadapan, disokong oleh rantai tersebut.

Kematiannya disebabkan oleh darah beku, mungkin akibat dari kecederaan teruk di kakinya, yang telah bergerak ke jantungnya dan menghalang pengaliran darah ke paru-parunya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com