Friday, June 10, 2005

Langkah-langkah keselamatan yang ketat yang diwujudkan di kem-kem tahanan

LAPORAN PARLIMEN KESEBELAS
28 April 2005

Dato' Raja Ahmad Zainuddin bin Raja Haji Omar [Larut] minta Menteri Keselamatan Dalam Negeri menyatakan tentang langkah-langkah keselamatan yang ketat yang diwujudkan di kem-kem tahanan termasuk di penjara di seluruh negara yang melibatkan tahanan-tahanan politik.

Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri [Tuan Chia Kwang Chye]: Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Yang Berhormat bagi memastikan keadaan penjara di seluruh negara adalah selamat, pelbagai langkah telah diambil oleh Jabatan Penjara Malaysia yang sememangnya sentiasa berwaspada terhadap kes-kes tahanan di penjara di seluruh negara. Di antara langkah-langkah keselamatan yang telah dan sedang diambil oleh pihak penjara termasuklah:

(i) memastikan tahap keselamatan fizikal penjara sentiasa berada dalam keadaan yang terbaik;

(ii) memastikan segala peralatan selamat digunakan pada setiap masa;

(iii) menggunakan peralatan-peralatan berteknologi tinggi seperti CCTV bagi menguasai tahanan; dan

(iv) menggantikan pagar-pagar yang rosak serta menapis dan memeriksa dengan teliti pelawat-pelawat yang hendak berjumpa dengan orang-orang tahanan.

Tuan Yang di-Pertua, langkah-langkah keselamatan tersebut dijalankan ke atas semua penghuni institusi penjara yang mana mereka telah dikenal pasti terlibat dengan pelbagai aktiviti atau jenayah mengancamkan keselamatan negara serta ketenteraman awam. Sekian terima kasih.

Dato' Raja Ahmad Zainuddin bin Raja Haji Omar: Terima kasih Yang Berhormat, saya ucapkan terima kasih kepada kementerian kerana Kem Tahanan Kamunting telah pun menjalankan satu projek bernilai RM10 juta untuk menaikkan pagar setinggi 15 kaki. Saya bangkitkan perkara ini kerana di kem tersebut baru-baru ini telah pun timbul, di mana penghuni-penghuni telah membuat pemberontakan dan mengancam ke atas pegawai dan kakitangan di kem tersebut yang telah menimbulkan masalah yang begitu besar, dan saya ingin tahu selain daripada tindakan fizikal, kawasan Kamunting ini tengah-tengah di antara Taiping dan Larut. Untuk makluman Yang Berhormat bagi Putra Jaya.

Saya ingin tahu selain daripada pembangunan fizikal yang telah ditimbulkan oleh Yang Berhormat Timbalan Menteri tadi termasuk memperbaiki pagar-pagar yang rosak, yang uzur termasuk meletakkan CCTV, bagaimana pemeriksaan ke atas pelawatpelawat termasuk keluarga yang datang melawat orang-orang tahanan di penjarapenjara ataupun di kem-kem tahanan, selain melihat yang terbaru sekali ialah kem-kem tahanan ataupun penjara untuk pendatang tanpa izin di 12 buah yang saya difahamkan di seluruh negara, yang semakin uzur dengan kawalan keselamatan yang tidak begitu terjamin, apakah kementerian ingin menambahkan warden-warden dalam mengawal keadaan keselamatan kalau-kalau akan berlaku rusuhan kerana terlalu ramai mereka yang dikurung ataupun yang dipenjarakan di tempat-tempat yang telah saya sebutkan tadi.

Terima kasih.

Tuan Chia Kwang Chye: Tuan Yang di-Pertua, sejak depot pendatang tanpa izin diambil alih oleh Jabatan Penjara, usaha dan cadangan telah diambil untuk mempertingkatkan ciri-ciri atau kemudahan fizikal untuk memastikan dan mengeratkan keselamatan dan apa juga usaha yang patut diambil. Selain daripada itu yang kita nampak - kemudahan fizikal yang mungkin perlu diambil ialah pagar-pagar yang menggunakan zink dan sebagainya. Kita berharap dengan kemudahan yang lebih baik khasnya mengenai pagar-pagar yang anti climb dan sebagainya. Juga dengan mengadakan lebih ramai pegawai-pegawai, kita dapat memastikan keselamatan di depot PATI yang baru diambil alih oleh Jabatan Penjara.

Sekian, terima kasih.

Datuk Abdul Ghapur bin Salleh [Kalabakan]: [Bangun]

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Kalabakan.

Dato' Raja Ahmad Zainuddin bin Raja Haji Omar: Yang Berhormat, mengenai pemeriksaan pelawat itu?

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Satu sudah cukuplah Yang Berhormat. Yang Berhormat bagi Kalabakan.

Datuk Abdul Ghapur bin Salleh: Satu, satulah. Tuan Yang di-Pertua, kita bercerita pasal .........

Beberapa Ahli: [Ketawa]

Datuk Abdul Ghapur bin Salleh: Boleh saya teruskan?

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Sila teruskan.

Datuk Abdul Ghapur bin Salleh: Langkah-langkah keselamatan untuk penjenayah-penjenayah tetapi saya fikir, kita harus memikirkan juga tentang penjara itu sendiri. Pernah saya kemudahan di sini, ukuran penjara 10 x 10 - ada 20 orang, mungkin dia tidak boleh tidur pun. Ini seharusnya diteliti juga. Walaupun dia penjenayah tetapi hak asasi mereka mesti dihormati. Mereka mesti ada tempat yang selesa dan makanan diberikan yang baik. Kalau tidak, apabila kita sudah penjarakan mereka dan mereka tidak dapat kemudahan, sudah tentu mereka akan memberontak. Oleh itu apakah langkah-langkah kementerian untuk mengatasi perkara ini?

Tuan Chia Kwang Chye: Tuan Yang di-Pertua, memang kita mengakui bahawa wujudnya kesesakan di dalam penjara khasnya di beberapa penjara berdekatan dengan bandar raya dan sebagainya. Sebagai contoh Penjara Sungai Buloh, kapasitinya Cuma 2,500 tetapi populasi sekarang ialah 5,059 orang iaitu dua kali ganda overcrowding dan sebagainya. Satu lagi contoh ialah Pulau Pinang, kapasitinya cuma 1,300 tetapi setakat ini 2,165 orang. Ini adalah contoh-contoh.

Walau bagaimanapun langkah-langkah telah diambil dan pihak kerajaan ada bercadang untuk membina 10 buah lagi penjara supaya kapasitinya boleh meningkat daripada 33,000 kepada lebih 46.......

Datuk Abdul Ghapur bin Salleh: Jawapan ini tidak memuaskan, Tuan Yang di-Pertua. Kita sudah kemukakan ini beberapa lama. Langkah-langkah ini sudah dikemukakan dalam Dewan sebelum saya menjadi ...masuk dalam Dewan sudah ada saya dengar. Kita mahu positif - langkah-langkah yang positif.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Baiklah, baiklah.

Datuk Abdul Ghapur bin Salleh: Sampai bila?

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Yang Berhormat, soalan Yang Berhormat bagi Kalabakan ialah apakah langkah-langkah...

Tuan Chia Kwang Chye: Tuan Yang di-Pertua, selain daripada pembinaan penjara-penjara baru, langkah-langkah yang akan diambil ialah mengkaji semula undang-undang dan akta-akta yang sedia ada. Yang keduanya ialah mengadakan sistem parole di mana banduan-banduan yang layak mungkin menjalankan hukumannya di luar penjara dan yang ketiga, kemungkinan dengan pindaan kepada Penal Code bahawa kita dapat mengadakan hukuman yang alternatif seperti perkhidmatan masyarakat dan sebagainya.

Dengan langkah-langkah yang komprehensif barulah kita dapat menangani masalah ini selain daripada mengurangkan jenayah-jenayah dan sebagainya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com