Friday, June 10, 2005

Kerajaan Enggan Kurangkan Hari Cabutan Judi

Oleh: Faisal Mustaffa

DEWAN NEGARA 15 Dis 04 - Kementerian Kewangan enggan mengubah jumlah cabutan pertaruhan nombor ramalan kerana menurut mereka, bilangan cabutan sedia ada sesuai dan munasabah.

Menurut Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan, Dato' Seri Dr. Hilmi bin Yahaya, sekiranya diberi sekatan kepada perjudian sedia ada, aktiviti perjudian tanpa lesen pula akan berleluasa, sukar dikawal dan boleh mengancam ekonomi dan keselamatan negara.

Menurutnya lagi, jumlah hari yang dibenarkan untuk cabutan ini telah pun dikurangkan. Mulai Oktober 1994, cabutan nombor ramalan telah dikurangkan daripada lima hari seminggu kepada tiga hari seminggu.

"Sekiranya hari cabutan dikurangkan kepada satu hari seminggu, jumlah kutipan cukai kerajaan dianggarkan berkurangan sebanyak RM620 juta setahun," kata Hilmi.

Dato' Ratnam a/l Muthiah yang telah mengajukan persoalan mengeneai isu judi haram ini berkata, satu tinjauan telah dijalankan oleh New Straits Times bahawa sejumlah RM12 bilion setahun dijudikan oleh kebanyakannya orang miskin. Dari RM12 bilion, RM6 bilion adalah dengan cara haram dari bookie. Ini bermakna, RM250 juta seminggu dijudikan oleh orang miskin untuk jadi kaya.

Puan Siti Zailah binti Mohd. Yusoff pula menambah bahawa judi itu sememangnya bertentangan dengan semua prinsip agama dan haram di segi Islam dan telah membawa banyak keburukan yang kita dapat tahu daripada hasil judi. Zailah berkata, buat masa kini terdapat lesen judi yang telah dikeluarkan oleh kerajaan berjumlah 1,822.

Menjawab persoalan-persoalan itu, Dato' Seri Dr. Hilmi bin Yahaya tidak menafikan bahawa Malaysia sebuah negara Islam dan sememangnya agama rasmi, agama Islam tetapi negara ini mempunyai pelbagai agama yang perlu dihormati. Namun, menurut Hilmi, bukan agama sebenarnya, tetapi budaya dan kebiasaan.

Hilmi memberitahu Dewan Negara bahawa lesen baru telah tidak dikeluarkan sejak 10 tahun lalu.

Menurut Hilmi, lesen terakhir dikeluarkan ialah sekitar tahun 1992 yang meliputi mesin slot dan lain-lain.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com