Saturday, June 11, 2005

Barisan kepimpinan bayangkan hasrat ahli mahu perubahan - Salahuddin

Image hosted by Photobucket.com

Oleh Bashir Ishak
KUALA LUMPUR, 10 Jun (Hrkh) - Ketua Pemuda PAS mensifatkan kombinasi pimpinan PAS untuk sesi 2005-2007 adalah mewakili hasrat perwakilan muktamar untuk merubah PAS.

Ini adalah satu manifestasi dari kelangsungan perubahan yang akan merancakkan lagi usaha untuk membawa PAS ke arus perdana politik Malaysia.
Dalam analisanya, para perwakilan memberikan undi yang berhati-hati dan berhemah.

Contohnya, daripada lebih 1000 perwakilan, Ustaz Nasharudin Mat Isa mendapat 536 undi, manakala dua Naib Presiden Haji Mohammad Sabu dan Dr Hassan Ali mendapat 445 dan 435 undi masing-masing.

Beliau ditemuramah selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda di pejabat Pemuda, Markas Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar di sini petang semalam.

Ditanya bentuk pemilihan di muktamar baru-baru ini, katanya PAS bukanlah seperti UMNO kerana jawatan di dalam PAS adalah amanah.

Individu yang menawarkan diri untuk bertanding untuk memberikan khidmat secara jujur dan ikhlas.

Tidak timbul trend untuk memegang jawatan untuk kepentingan diri kerana pimpinan PAS telah ditarbiyah untuk bekerja secara ikhlas untuk memajukan parti dan Islam amnya, tegas beliau.

Mengulas tentang pejawat Timbalan Presiden yang dikatakan masih muda, ianya tidak menjadi persoalan kerana dua orang bekas pimpinan nombor dua parti sebelum inipun dipilih semasa mereka masih pada usia yang muda.

Almarhum Ustaz Fadzil Noor dipilih semasa berusia 46 tahun dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang semasa berusia 38 tahun.

Yang pentingnya tidak timbul masalah individu kerana PAS akan terus mengekalkan konsep institusi yang ada iaitu kepimpinan ulama dan disokong oleh golongan professional dan bukan ulama, tambah beliau.

Pimpinan yang dilantik semula pula memenuhi kriteria tertentu yang penting untuk kelangsungan perjuangan parti.

Contohnya, Ustaz Hassan Shukri berpengalaman luas di bidang perlembagaan parti dan Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman seorang yang mahir di bidang pilihanraya.

Beliau juga mengulas tentang perlantikan bekas Ketua Pemuda, Haji Mahfuz Omar sebagai Timbalan Ketua Penerangan.

Salahuddin mengakui kebolehan Mahfuz yang berpengalaman luas, kreatif, agresif dan tangkas melawan hujah-hujah dari UMNO.

Ini juga membuktikan bahawa tenaga muda diiktiraf untuk menduduki jawatan penting di dalam PAS.

Dewan Pemuda sejak dulu, katanya, menjadi pusat mendidik dan membekalkan pelapis kepada pimpinan parti yang sedia memberikan peluang untuk mereka membuktikan keupayaan.
- zs

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com