Saturday, June 11, 2005

Tok Guru selar asas pemikiran sekular yang dicetus Najib


MURSYIDUL AM PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat menganggap kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak yang mahu pemimpin PAS mengelak perkara menyentuh soal akidah sebagai asas pemikiran sekular.

Beliau berkata, orang yang berfahaman sekular hidup di dunia kerana dilahirkan ibunya semata-mata, tanpa mempunyai sebarang tujuan yang jelas.

“Hidup hanya cari makan, berumahtangga, berkeluarga dan mati. Mereka hanya tunggu mati, sedangkan orang Islam tanpa mengira bangsa, sama ada Melayu, Cina, India dia sentiasa sedar.

“Kalau pergi ke tandas ada tujuannya. Pergi ke pasar ada tujuannya. Pergi ke ladang ada tujuannya, maka kita datang ke dunia ini, kerana Allah mencipta dengan ada tujuan tertentu,” katanya di sini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Dato’ Seri Najib Tun Razak yang dilaporkan berkata, pemimpin PAS perlu lebih bertanggungjawab dalam meraih sokongan dan mengelak perkara yang menyentuh soal akidah.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, tujuan dicipta manusia ialah sebagai ‘khalifah fil ardi’ iaitu mengurus hal ehwal agama di muka bumi.

Kata beliau tiap-tiap manusia muslim hidup di dunia bagi mengurus kerja-kerja Allah iaitu menunaikan suruhan dan meninggalkan laranganNya.

“Hasil daripada itulah perkara pertama yang perlu dilakukan orang Islam ialah menyentuh aspek akidah. Akidah mengandungi tiga perkara kasar iaitu ketuhanan yang mesti dijunjung, kenabian yang mesti diikuti dan kebangkitan semula.

“Di akhirat kelak akan menerima balasan. Kalau kita setia dengan Allah akan dibalas dengan syurga. Dan kalau tidak setia dengan Allah akan dibakar hidup-hidup dalam neraka,” ujarnya.
Oleh itu menurutnya, orang yang tidak mementingkan soal akidah sebenarnya mereka tidak faham tujuan sebenar hidup. Harakahdaily

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com