Saturday, June 11, 2005

Kerajaan sedia kaji kuasa Datuk Bandar

KUALA LUMPUR: Datuk Bandar Kuala Lumpur bertanggungjawab melaporkan mengenai perancangan dan pelaksanaan pembangunan selain mengemukakan laporan kewangan kepada Kementerian Wilayah Persekutuan.

Menterinya, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, berkata bidang kuasa Datuk Bandar itu dihuraikan dengan jelas dalam Akta Ibu Kota Persekutuan, 1960 (Akta 190).

“Apabila kementerian ini diwujudkan, seorang menteri bertanggungjawab menguruskan segala hal berkaitan pentadbiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Ini termasuk syarat mewajibkan Datuk Bandar melaporkan kepada Menteri sebelum sebarang tindakan penting diambil atau sesuatu projek hendak dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Umno Wilayah Persekutuan yang mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengkaji semula fungsi Datuk Bandar yang dikatakan mempunyai terlalu banyak kuasa.

Mohd Isa berkata, kerajaan sedia menimbang cadangan ahli Parlimen dan Ketua Umno Bahagian diberi peluang untuk bersama-sama menentukan dasar dan pentadbiran Kuala Lumpur.

Katanya, mengikut prosedur sedia ada, kementeriannya bertanggungjawab menyelaras semua pembangunan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dalam isu membabitkan perancangan, pelaksanaan dan pembiayaan kos pembinaan.

Kelmarin, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ruslin Hasan mempersoalkan cadangan Umno Wilayah Persekutuan supaya kuasanya dalam mentadbir dan mengurus bandar raya dihadkan kerana bidang tugasnya sudah dihuraikan secara terperinci dalam Akta Ibu Kota Persekutuan, 1960 (Akta 190).

Katanya, kuasa Datuk Bandar tertakluk di bawah bidang kuasa Menteri Wilayah Persekutuan dan semua keputusan besar perlu menerusi Lembaga Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang dianggotai wakil parti politik, jabatan profesional dan pemimpin masyarakat.

Ruslin, 55, dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur ketujuh Disember lalu selepas berkhidmat kira-kira 30 tahun di hampir semua jabatan di bawah DBKL.

Jawatan terakhirnya sebelum menjadi Datuk Bandar ialah sebagai Timbalan Ketua Pengarah.

Isu kuasa Datuk Bandar Kuala Lumpur sudah lama menjadi pertikaian kerana berbeza dengan negeri lain di mana kuasa mutlak terletak di tangan Menteri Besar atau Ketua Menteri, Datuk Bandar berkuasa sepenuhnya dalam isu berkaitan pentadbiran dan pembangunan Kuala Lumpur.

Justeru, parti pembangkang, terutama DAP, sudah lama mendesak supaya pemilihan Datuk Bandar dan ahli majlis perbandaran yang diharamkan pada Mac 1965 ketika berlaku konfrantasi dengan Indonesia, dihidupkan semula.

Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai, berkata Datuk Bandar yang dilantik dapat menjamin wujud ketelusan dan rasa tanggungjawab terhadap penduduk setempat

Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun, yang mewakili DAP, berkata desakan mengurangkan kuasa Datuk Bandar tidak akan membawa sebarang perubahan kerana ia hanya akan bertukar tangan tanpa menyelesaikan masalah melainkan kuasa menentukan Datuk Bandar diletakkan kembali di tangan rakyat.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com