Sunday, June 12, 2005

Nahas ragut empat nyawa

Oleh Noorwati Salleh, Rosli Abdul Jalil dan Shahrul Nizam Mohamad

MARAN: Kegembiraan sebuah keluarga menghadiri majlis perkahwinan berakhir dengan nahas apabila kereta yang mereka naiki terbabit dalam satu kemalangan ngeri di Kilometer 89.5 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur berhampiran simpang Jengka, di sini petang semalam, menyebabkan empat terbunuh dan tiga lagi cedera parah.

Dalam kejadian pada kira-kira jam 4 petang itu, Norminani Zahit, 31 yang mengandung enam bulan, anaknya Mohd Daniel, 4, dan ibu mentuanya, Fatimah Asmara Sapi, 65, terbunuh.

Seorang lagi kanak-kanak berusia dua tahun, Puteri Nadirah Ameesya Mohd Afifi turut meninggal kira-kira jam 6 petang selepas dikejarkan ke hospital.



Kereta Toyota yang dipandu Nazimuddin Said, 32, dikatakan bertembung dengan sebuah kereta Perodua Kancil yang sedang dalam perjalanan dari arah Temerloh ke Kuantan.

Akibat pelanggaran itu, Nazimuddin yang juga juruteknik MAS dari Kampung Megat Segama, Temerloh mengalami patah tangan kanan, manakala tiga penumpangnya, iaitu isterinya Norminani, anaknya Mohd Daniel dan ibu mentuanya, Fatimah terbunuh.

Ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital akibat cedera parah di kepala.

Norminani, seorang guru agama di Kelana Jaya juga mengandung enam bulan dan anak dalam kandungannya juga disahkan meninggal dunia.

Seorang lagi penumpang di dalam kereta Nazimuddin, Jamilah Alias, 60, hanya cedera ringan dengan luka di dahi, pipi kanan dan bibir.

Sementara itu, pemandu kereta Kancil, Amar Maarof Abdullah, 20, dari Taman Tas Kuantan turut mengalami patah tangan dan kaki kiri.

Pemangku Ketua Polis Daerah Maran, Asisten Superintendan Md Noor Ali yang mengesahkan kejadian itu berkata, kereta Kancil itu membawa empat penumpang termasuk seorang kanak-kanak berusia dua tahun, Puteri Nadirah yang disahkan meninggal dunia di Pusat Kesihatan Maran pada kira-kira jam 6 petang.

"Kami belum dapat mengesahkan hubungannya dengan penumpang di dalam kereta Kancil itu tetapi difahamkan dia mengikut pengasuhnya," katanya yang ditemui di sini, semalam.

Beliau berkata, tiga yang lain ialah Ramlah Deeraman, 46, beralamat Taman LKNP Bukit Setongkol, Kuantan dan dua beradik Abdullah Sirajuddin, 17, pelajar Sekolah Teknik Chenor, Maran dan adiknya Mohd Alif, 9, (Sekolah Kebangsaan Bukit Sekilau, Kuantan).

Ramlah mengalami patah kaki kiri dan kanan, manakala kedua-dua beradik itu hanya cedera ringan.

Md Noor berkata, Nazimuddin (pemandu kereta Toyota) dan Jamilah dihantar ke Hospital Temerloh, manakala Amar Maarof (pemandu Kancil) dan Ramlah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk mendapatkan rawatan.

Mengenai kejadian itu, beliau berkata, Nazimuddin sekeluarga dipercayai dalam perjalanan pulang ke Felda Purun, Triang selepas menghantar seorang anggota keluarganya ke rumah besannya di Felda Panching.

"Kereta Kancil berkenaan pula dipercayai menghala ke Kuantan selepas menghadiri satu kenduri kahwin apabila ia terbabas setibanya di KM89.5, kira-kira 500 meter dari Simpang Jengka.

"Kereta Kancil terbabit dipercayai memasuki laluan kanan lalu bertembung dengan kereta Toyota yang kebetulan menghala ke arah Kuala Lumpur.

"Pelanggaran itu menyebabkan kereta Kancil terbabit berpusing beberapa kali," katanya.

Beliau berkata, semua mangsa yang tersepit di dalam kereta, dibantu keluar oleh orang awam yang melihat kejadian itu.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com