Sunday, June 12, 2005

Penyusunan semula program vendor majukan usahawan Bumiputera

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menyusun semula program pembangunan vendor kepada kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi memastikan usahawan Bumiputera menjadi lebih berdaya maju dan cekap.

Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, berkata penyusunan itu akan meningkat dan menambahbaik keupayaan vendor dari segi pengurusan projek, kewangan, teknikal dan kualiti kerja.

“Program itu akan melengkapkan usahawan Bumiputera dengan kepakaran khusus bagi memastikan mereka dilatih dan dibimbing berasaskan kepakaran serta daya saing masing-masing.

“Vendor yang sudah berjaya dan maju akan dipadankan dengan usahawan Bumiputera yang baru supaya yang maju dan berjaya dapat memimpin dan melatih mereka yang baru di bawah program perintis.

“Kemajuan program vendor GLC itu akan diawasi oleh kerajaan,” katanya pada majlis merasmikan penutup Konvensyen Usahawan Binaan Melayu 2005 anjuran Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia, di Kuala Lumpur, semalam.

Turut hadir, Timbalan Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) yang juga Pengerusi Konvensyen Usahawan Binaan Melayu (Kubim), Datuk Mohd Amar Mohd Din.

Nor Mohamed juga berkata, kerajaan prihatin dengan masalah usahawan Bumiputera mendapatkan bekalan bahan dan kredit bekalan ketika melaksanakan projek.

Jika dibiarkan, masalah itu boleh mengakibatkan kos mendapatkan bekalan yang lebih tinggi, sekali gus menjejaskan daya saing vendor Bumiputera.

Untuk mengatasinya, beliau berkata, GLC yang menawarkan kontrak akan mengenalpasti satu mekanisma untuk membolehkan mereka memperoleh bekalan bahan mentah binaan bagi pihak usahawan Bumiputera yang mendapat kontrak GLC berkenaan.

Kaedah itu dijangka dapat mengurangkan beban usahawan Bumiputera mendapat dan menguruskan bekalan bahan, selain memberi manfaat kepada GLC mendapatkan bekalan pada kos yang lebih berdaya saing, terutamanya membabitkan pembelian pukal.

Bagi mengatasi masalah kredit bekalan pula, Nor Mohamed berkata Bank Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang akan beroperasi pada 1 Oktober akan bekerjasama dengan GLC yang menawarkan kontrak untuk menyediakan kemudahan pembiayaan bahan mentah kepada usahawan Bumiputera.

Dengan itu, vendor tidak lagi dibebankan dengan masalah pembiayaan pembelian bahan mentah, selain terpaksa menanggung kos pembiayaan modal kerja seperti kos buruh.

Di samping itu, Bank IKS juga akan turut menyediakan pembiayaan berbentuk pemfaktoran atau pembiayaan invois bagi kerja yang sudah disiapkan sementara menunggu pembayaran daripada GLC yang memberikan kontrak.

Selain itu, Nor Mohamed berkata kerajaan sedang giat berusaha memastikan kontraktor Bumiputra meningkatkan penggunaan kaedah sistem pembinaan perindustrian (IBS) bagi pembinaan perumahan dan bangunan di masa depan, selain memastikan mereka meneroka bidang penyelidikan dan reka bentuk, penyediaan piawaian, pengeluaran dan pemasangan.

Beliau berkata, pembangunan IBS akan diterajui GLC memastikan penyertaan usahawan Bumiputera diutamakan dalam semua aspek pembangunan.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com