Friday, June 24, 2005

Tiada permohonan anjur konsert amal Michael Jackson

KUALA LUMPUR 22 Jun - Kerajaan tidak tahu mengenai hasrat Raja Pop, Michael Jackson yang dikatakan mahu datang ke Malaysia untuk mengadakan konsert amal penghujung tahun ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Siti Azizah Abod berkata, sehingga kini pihaknya tidak pernah dihubungi mana-mana promoter atau penganjur konsert berkaitan perkara tersebut.

``Kita tunggu kalau ada permohonan tetapi sehingga kini tidak ada,'' katanya yang juga Pengerusi Jawatan Kuasa Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal).

Beliau berkata demikian setelah mengetuai majlis dialog Puspal bersama promoter dan penganjur hiburan di Pusat Pelancongan Malaysia (MTC), di sini hari ini.

Kelmarin Naib Presiden Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC), Zainal Abidin Fathodin memberitahu, penyanyi itu telah menyatakan persetujuan mengadakan persembahan amal Come Together As Unity bertujuan mengutip dana bagi membantu pesakit AIDS dan rakyat miskin di negara ini dan beberapa negara lain.

Menurutnya, mengikut cadangan, persembahan amal itu akan diadakan di Stadium Bukit Jalil selama dua malam untuk mengisi dana MAYC Kelantan.

Bahkan, kata Zainal Abidin, penyanyi itu juga telah menyatakan persetujuan melalui Jermaine Jackson Production yang menghantar surat kepada pihaknya April lalu.

Jackson mendapat perhatian dunia apabila beliau didakwa mencabul penghormatan seorang kanak-kanak lelaki yang merupakan seorang pesakit kanser berusia 13 tahun di kediamannya, Neverland Ranch pada 2003.

Bagaimanapun mahkamah kemudiannya memihak kepada Jackson dan membebaskan beliau daripada kesemua 10 tuduhan yang dikenakan ke atasnya.

Sementara itu ketika diminta mengulas lanjut mengenai Puspal, Siti Azizah berkata, ia bertindak sebagai pusat sehenti bagi memudahkan proses penggambaran filem dan persembahan artis luar negara.

Bagi mengurangkan kerenah birokrasi, katanya, Puspal akan mengurangkan tempoh kelulusan sesuatu permohonan daripada seminggu kepada lima hari bekerja dengan syarat semua borang
permohonan lengkap.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com