Friday, June 24, 2005

Arab Saudi setuju tambah 1,000 kuota jemaah haji Malaysia

PUTRAJAYA 22 Jun - Kerajaan Arab Saudi bersetuju menambah 1,000 lagi kuota jemaah Malaysia pada musim haji tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Md. Zin berkata, dengan persetujuan itu, kuota rasmi jemaah haji negara ini meningkat daripada 25,000 orang sebelum ini kepada 26,000 orang.

Menurut beliau, persetujuan tersebut dicapai dalam rundingan rasmi dengan Menteri Haji negara itu, Dr. Fuad Abdul Salam Al-Farisi sempena lawatan kerjanya selama empat hari ke negara itu bermula 13 Jun lalu.

``Jumlah 1,000 itu dicapai berdasarkan kepada bilangan penduduk Malaysia yang telah meningkat kepada 26 juta orang mengikut perangkaan yang terakhir bagi tahun ini.

``Pertambahan ini perlu mengikut garis panduan yang ditetapkan pada Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) berhubung kuota jemaah haji,'' katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya, di sini hari ini.

Dalam pada itu, kata Abdullah, rundingan tersebut turut mencapai beberapa perkara positif, antaranya wang perbelanjaan haji musim 1426 hijrah ini tidak berubah dan kekal seperti musim haji yang lalu bagi jemaah haji biasa (muassasah).

Perbelanjaan tersebut, katanya kekal iaitu RM8,973 bagi Semenanjung Malaysia, Sarawak (RM9,054) dan Sabah (RM9,096).

Beliau memberitahu, peraturan penginapan haji di Mekah dan Madinah turut dibincangkan bagi tujuan menjamin keselesaan kepada jemaah haji dan menepati Peraturan Haji Arab Saudi.

``Mulai musim haji tahun ini, keluasan tempat tinggal bagi setiap seorang jemaah haji dinaikkan daripada tiga meter persegi kepada 3.5 meter persegi.

``Ini bermakna bangunan yang boleh menampung 1,000 jemaah haji yang lalu, pada tahun ini hanya boleh menampung 834 orang dan jemaah haji kita akan mendapat ruang yang lebih selesa dan luas,'' katanya.

Beliau menambah, walaupun keluasan tempat penginapan jemaah haji diperluaskan tetapi segala perbelanjaan ditanggung oleh Tabung Haji (TH) dan bukan jemaah haji.

``Ini berikutan wang perbelanjaan haji tidak dinaikkan bahkan kekal pada kadar yang sama seperti musim haji yang lepas,'' katanya.

Abdullah berkata, dianggarkan TH menanggung kira-kira RM1,200 bagi setiap jemaah haji muassasah disebabkan tiadanya kenaikan wang perbelanjaan haji.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com