Tuesday, June 21, 2005

Guru tidak mahu kuasa tahan PATI

KUALA LUMPUR 20 Jun - Kesatuan-kesatuan guru hari ini membantah keras cadangan kerajaan untuk memberi kuasa kepada guru berijazah menahan pendatang asing tanpa izin (PATI) kerana mereka telahpun dibebani dengan tanggungjawab sebagai pendidik yang kian mencabar.

Mereka berpendapat guru-guru telah cukup dibebani dengan tugas hakiki termasuk mendidik, menangani gejala sosial selain terpaksa menjalankan kerja perkeranian.

Malah cadangan tersebut boleh mengundang pelbagai risiko seperti kecederaan, ugutan atau maut kerana guru tidak mempunyai kemahiran menggunakan senjata dan pertahankan diri.

Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KKGLMSM), Awang Mohmad berkata, cadangan itu merupakan satu lagi bebanan yang terpaksa ditanggung oleh guru sedangkan negara mempunyai penguatkuasaan seperti polis dan imigresen untuk menjalankan tugas tersebut.

``Kesatuan berharap kerajaan tidak menyerahkan tanggungjawab jabatan lain semata-mata dengan alasan untuk memperhebatkan operasi memburu pendatang tanpa melihat risiko yang mungkin timbul,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas cadangan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Azmi Khalid semalam bahawa bagi memastikan negara tidak lagi menjadi destinasi mudah PATI, kementerian memperluaskan kuasa menahan mereka, kepada pegawai kerajaan termasuk guru berijazah.

Dengan penurunan kuasa mengikut Akta (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1964 Peraturan-Peraturan Perlu (Ikatan Relawan Rakyat) (Pindaan) 2005 yang berkuat kuasa 1 Februari lalu itu, pegawai terbabit boleh menggeledah rumah atau premis yang disyaki menjadi lokasi persembunyian pendatang tanpa memerlukan waran dan menahan serta menyemak dokumen rakyat tempatan yang disyaki menggaji dan melindungi pendatang.

Presiden Persatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Ismail Nihat berkata, kuasa menahan PATI yang diberi kepada guru akan mengundang pelbagai risiko termasuk pergaduhan yang boleh membawa kecederaan ataupun maut.

``Jika cadangan tersebut bertujuan menjadikan guru sebagai ejen penggerak rakyat, maka mereka hanya boleh bertindak sebagai pemberi maklumat dan bukannya menahan, menggeledah rumah atau tempat persembunyian PATI,'' katanya.

Sementara itu, menurut Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGGMMB), Prof. Madya Dr. Abdul Rahman Daud berkata, seperti sedia maklum golongan guru tidak mempunyai kemahiran menggunakan senjata dan mempertahankan diri.

``Sehubungan itu, keadaan ini boleh mengancam keselamatan dan nyawa kerana biasanya pendatang bertindak ganas apabila diserbu oleh pihak berkuasa,'' katanya.

Beliau berharap walaupun ini merupakan satu tugas sukarela, namun ia tidak patut melibatkan guru.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com