Monday, June 20, 2005

Daftar telefon prabayar -- Bagi membendung unsur fitnah, lucah, ugutan menerusi SMS

KUALA LUMPUR 19 Jun - Kerajaan mungkin mendaftarkan pengguna telefon bimbit prabayar untuk membantu pihak berkuasa mengesan mereka yang menggunakan perkhidmatan itu untuk membuat panggilan atau menghantar mesej (SMS) berunsur fitnah.

Fenomena mesej mahupun imej berunsur fitnah, lucah dan ugutan semakin membimbangkan di Malaysia apabila ia dihantar oleh pihak-pihak tertentu menggunakan kaedah tersebut.

Malah ada yang menggunakan kesempatan itu menyebarkan khidmat pesanan ringkas secara besar-besaran atau ``mass SMS'' kepada orang ramai.

Malaysia kini mempunyai 12 juta pengguna telefon bimbit prabayar.

Pada masa ini, sesiapa sahaja boleh pergi ke kedai telefon dan membeli pek SIM prabayar bagi mendapatkan laluan panggilan dan mesej pada harga serendah RM18 tanpa perlu mendaftar dengan penyedia perkhidmatan itu.

``Kerajaan sedang menimbangkan cadangan pendaftaran itu dengan serius,'' kata Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik.

Beliau berkata, pengguna mungkin disyaratkan memberikan dokumen pengenalan diri sebelum mereka boleh membeli kad pelanggan modul identifikasi (SIM), bagi membolehkan mereka menggunakan perkhidmatan telefon bimbit prabayar.

``Kerajaan sebelum ini pernah meminta syarikat telekomunikasi tempatan untuk mendaftarkan pelanggan telefon bimbit prabayar tetapi permintaan itu bukannya mandatori,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan dewan serbaguna Gerakan Ampang hari ini. Dr. Lim ialah Presiden Gerakan.

Beliau berkata, adalah sukar untuk memastikan semua pengguna telefon bimbit sedia ada berdaftar tetapi ``kerajaan'' menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, akan mencari penyelesaian terhadap masalah itu.

``Sekurang-kurangnya, pembeli baru pek SIM prabayar boleh mendaftar dan yang sedia ada akan perlu berbuat demikian apabila mereka menambah nilai kredit mereka,'' katanya.

Setakat Disember tahun lepas, terdapat 12 juta pengguna telefon bimbit prabayar di negara ini, merupakan 83 peratus daripada 14.6 juta pengguna telefon bimbit di Malaysia.

Para anggota Parlimen pada tahun lalu menggesa diwajibkan pendaftaran pengguna telefon bimbit prabayar selepas mereka mendakwa ada pengguna menyalahgunakan perkhidmatan itu dengan menghantar mesej berunsur fitnah.

Negara seperti Thailand, Filipina dan Taiwan telah mula mendaftarkan pengguna telefon bimbit prabayar sejak beberapa bulan lepas.

Kerajaan Thailand mengarahkan langkah itu berkuat kuasa 10 Mei untuk mencegah pengganas daripada menggunakan kad SIM prabayar sebagai alat untuk meletupkan bom.

Di Taiwan, pembeli perlu menunjukkan dua borang pengenalan diri sebelum dibenarkan membeli kad prabayar dan pengusaha dihukum sekiranya rekod tidak lengkap.

Warga Taiwan perlu menunjukkan kad pengenalan, lesen memandu atau kad insurans nasional manakala orang asing di negara itu perlu menunjukkan pasport dan dokumen seperti permit kerja.

Ditanya sekiranya langkah mewajibkan pendaftaran pengguna telefon bimbit prabayar itu kelak akan menjejaskan penjualan kad prabayar, Dr. Lim berkata keuntungan tidak harus dijadikan keutamaan oleh syarikat telekomunikasi kerana mereka patut membantu memastikan keselamatan negara.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com