Sunday, June 19, 2005

Penonjolan Keganasan Di TV, Wayang Gambar Dipersalahkan

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Adegan-adegan ganas, dendam dan kekejaman yang dihidangkan kepada kanak-kanak menerusi televisyen dan wayang gambar menyumbang kepada peningkatan kes buli di sekolah, kata aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye.

Malahan kartun turut memaparkan adegan ganas, katanya.

"Pendedahan dan pengaruh unsur-unsur keganasan ini perlu disekat jika kita benar-benar serius hendak mengatasi masalah jenayah keganasan," katanya dalam satu kenyataan.

Lee, naib pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia mengulas tentang siri kejadian kes buli di sekolah yang terus berlaku sekarang.

Semalam, Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menggesa pelajar yang menjadi mangsa buli melaporkan terus ke pejabatanya agar tindakan boleh diambil bagi melindungi mereka.

"Gesaan menteri itu satu perkara...tetapi juga penting ialah mengesan punca di peringkat akar umbi gejala buli di sekolah," kata Lee.

Beliau berkata kaunseling pelajar di sekolah perlu diperkukuh dengan mengadakan lebih ramai guru kaunseling bagi menangani pelajar bermasalah.

Di Kota Kinabalu, naib ketua Puteri Umno Rosnah Abdul Rashid Shirlin menggesa kementerian mempertingkat dan memperluas kaunseling di sekolah bagi menghapus budaya keganasan.

Beliau berkata Malaysia wajar mencontohi negara-negara Barat di mana kaunseling di sekolah diberi keutamaan tinggi, dan khidmat itu tidak saja diberi kepada pelajar bermasalah disiplin tetapi juga mereka yang menghadapi stress akibat tekanan daripada keluarga dan rakan.- BERNAMA

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com