Wednesday, June 15, 2005

Kes Gomez: Universiti awam sudah dipolitikkan – Syed Azman

Oleh : Bashir Ishak

KUALA LUMPUR, 15 Jun (Hrkh) - Universiti awam di negara ini sudah dipolitikkan dan ini merupakan satu budaya yang kurang sihat, kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi.

Pelantikan ke jawatan penting di universiti seolah-olah telah ‘diswastakan kepada kepimpinan Umno’ manakala Pemuda dan Puteri Umno bebas masuk ke universiti-universiti awam untuk menjalankan program mereka, katanya.

“Kini persatuan mahasiswa dan pensyarah tidak mempunyai hak untuk bersuara. Ini kerana bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan pentadbiran di universiti dikawal oleh individu yang cenderung kepada parti pemerintah,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan pensyarah Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Terence Gomez yang mahu politiking di universiti dihentikan dan para pensyarah serta pelajar diberikan kebebasan serta autonomi dalam politik.

Syed Azman berkata, kenaikan pangkat di universiti juga tidak lagi mengikut kelayakan atau merit tetapi lebih kepada mereka yang baik dengan pemimpin politik.

Dr Gomez kini diberikan cuti tanpa gaji selama dua tahun oleh kerajaan untuk membolehkannya bertugas sebagi pengurus di Institut Penyelidikan Pembangunan Sosial Bangsa-Bangsa Bersatu di Geneva.

Baru-baru ini, permohonan beliau untuk dipinjamkan ke jawatan tersebut ditolak oleh UM. Beliau bertugas sebagai Profesor Madya di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran yang hampir mendesaknya untuk meletakkan jawatan.

Namun setelah didesak oleh persatuan kakitangan, ahli akademik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), permohonan beliau akhir diluluskan oleh Kementerian Pengajian Tinggi.

Gomez berkata, satu reformasi perlu dibuat dengan menggariskan tiga aspek utama. Pertama, pelantikan Naib Canselor tidak dibuat oleh kuasa eksekutif tetapi dilantik satu badan bebas yang melantik individu yang berkelayakan.

Kedua, Akta Kolej dan Universiti (AUKU) perlu dipinda bukan sahaja ke atas ahli akademik tetapi juga para pelajar yang membolehkan mereka terlibat dengan politik dan memahami apa yang berlaku dan bukannya diindoktrinasikan oleh parti politik tertentu.

Akhirnya, satu skim baru perkhidmatan untuk menggantikan sistem sedia ada perlu dibuat. Sistem yang ada sekarang telah mengakibatkan kualiti para pensyarah menurun dengan teruknya.

Bagi kes Dr Gomez, Syed Azman mahu desakan seperti ini terus dibuat bukan kerana individu tertentu sahaja, tapi terus diperjuangkan oleh persatuan kakitangan, ahli akademik mahupun NGO agar kepincangan dan penyelewengan di universiti awam dapat diakhiri. – lanh

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com