Tuesday, June 14, 2005

Bapa dakwa anak didera guru Taska

KAMPUNG GAJAH: Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang baru didaftarkan di sebuah taman asuhan kanak-kanak (Taska) Kemas di Felcra Changkat Lada, Seberang Perak, di sini, cedera di beberapa anggota badan dipercayai didera guru taska itu, Khamis lalu.

Berikutan itu, polis menahan guru berkenaan berusia 20-an di rumahnya awal pagi semalam, sebelum perintah reman selama lima hari dikeluarkan Pendaftar Kanan Mahkamah Sesyen Ipoh, Noridah Hussin.

Tangkapan dibuat selepas bapa mangsa berusia 30 tahun membuat laporan polis mengenai kecederaan anaknya itu, sehari selepas kejadian.

Bapa mangsa, seorang peniaga kedai berkata, keluarganya mengesyaki sesuatu apabila mereka mendapati perubahan pada anaknya itu ketika pulang dari taska berkenaan pada hari kejadian.

Katanya, perubahan ketara apabila anaknya menangis dan mengadu sakit ketika mahu membuang air kecil.

“Pada ketika itulah isteri dan ibu saya memeriksanya dan mendapati kesan luka dan cubit di beberapa bahagian badannya dan kami terus membawanya ke Hospital Teluk Intan (HTI) pada jam 11 malam,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Bapa mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Hilir Perak, selepas doktor pakar HTI yang merawat anaknya itu menasihatkan beliau berbuat demikian.

Katanya, isterinya yang bekerja di Felcra Bendang Besar, mendaftarkan anaknya itu serta seorang lagi lelaki berusia tiga tahun ke taska berkenaan pada 2 Jun lalu tetapi tidak menghantar anaknya selepas itu sehinggalah pada hari kejadian.

Bapa mangsa mendakwa anak lelakinya yang berusia tiga tahun juga mempunyai kesan cedera di cuping telinga tetapi beliau tidak membawanya ke hospital atau membuat laporan polis.

Beliau berkata, keluarganya amat terkejut dengan kejadian itu kerana mereka menghantar anak mereka supaya kedua-duanya mendapat asuhan dan pendidikan awal di Taska.

Guru itu kini disiasat mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh membawa hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com