Tuesday, June 14, 2005

Subsidi diesel akan dihapus

Oleh Norfatimah Ahmad

SUBANG JAYA: Kerajaan akan menghapuskan sepenuhnya subsidi diesel seperti dilakukan Indonesia dan Thailand bagi mengurangkan beban kewangan negara, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa khas mengenai isu bekalan diesel yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, baru-baru ini.

Malah, katanya, tindakan kerajaan menaikkan harga bahan itu adalah langkah awal untuk mengurangkan pergantungan sektor industri, pengangkutan dan nelayan terhadap subsidi diesel.

Kali terakhir harga diesel dan petrol, masing-masing dinaikkan sebanyak 20 sen dan 10 sen seliter pada 5 Mei lalu.

“Kita tidak boleh bergantung selama-lamanya dengan subsidi, akan tiba masanya apabila bantuan itu ditarik balik kerajaan. Saya tidak tahu bila, mungkin dalam masa terdekat, mungkin dua atau tiga tahun lagi.

“Bagaimanapun, kita perlu menerima hakikat penghapusan subsidi sebenarnya boleh membawa kebaikan untuk pelbagai pihak,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan kenderaan pacuan empat roda, Isuzu Dmax di sini, semalam.

Shafie berkata, pemberian subsidi mengganggu sistem pasaran dan menyebabkan industri tempatan tidak dapat bersaing.


Berdasarkan aliran sekarang, bukan hanya negara pengeluar minyak seperti Indonesia menghapuskan keistimewaan subsidi, tetapi Thailand juga menganggap tindakan itu wajar.

Baru-baru ini, Thailand mengumumkan keputusan menghapuskan subsidi diesel di negara berkenaan. Sebelum itu, negara pengeluar minyak, Indonesia juga membuat keputusan yang sama.

Berikutan keputusan negara jiran itu, Shafie mengarahkan bahagian penguat kuasa kementerian memperketatkan kawalan di sempadan seluruh negara.

“Kita sedang memantau keadaan bukan saja di utara Semenanjung, malah di Singapura dan Kalimantan juga kawalan dipertingkatkan kerana tidak mahu rakyat asing masuk ke negara ini sebagai pelancong semata-mata untuk membeli diesel atau melakukan penyeludupan,” katanya.

Selain itu, kementeriannya dan Kementerian Pengangkutan membincangkan kemungkinan mengkaji kadar cukai jalan berikutan peningkatan harga petroleum dan diesel, baru-baru ini.

“Pelbagai aspek lain yang memberi kesan kepada industri pengangkutan negara turut diteliti,” kata Shafie.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com