Tuesday, June 14, 2005

Nik Adli tidak mahu keluarga lawat?

Oleh: Faisal Mustaffa

KOTA BHARU 10 Jun - Tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Nik Adli Nik Aziz memberitahu keluarganya agar tidak melawatnya di Kem Tahanan Kamunting.

Kali terakhir keluarga pergi melawatnya di Kem Tahanan yang terletak di Taiping itu ialah semasa Hari Raya Puasa tahun lalu.

Isteri Nik Adli, Sles Monira, 33, memberitahu ketika diberi peluang untuk berkongsikan pengalamannya bersama penonton-penonton yang hadir menyaksikan Teater Tok Sloo & Bilik Sulit di sini malam ini.

Menurut Sles, Nik Adli memberitahunya demikian kerana tidak mahu anak-anaknya, Nik Abdul Aziz (7) dan Nik Kifayatullah (5) mengalami tekanan emosi apabila melawat keadaannya di kem tahanan.

Sles memberitahu, dalam setiap sessi lawatannya dengan suami, mereka dipisahkan dengan jaringan dawai. Keadaan tersebut seolah-olah seperti sebuah penjara. Selepas beberapa bulan selepas Nik Adli diletakkan di kem tersebut, keadaaan tersebut telah diubahsuai di mana jaringan dawai tersebut ditambahkan dengan cermin yang hanya mempunyai lubang untuk berinteraksi sebesar ibu jari.

Sekatan tersebut tidak dapat memberi peluang Sles dan anak-anaknya bersalaman dengan Nik Adli.

"Suami saya terpaksa bercakap dengan meletakkan mulut ke lubang berkenaan dan saya terpaksa meletakkan telinga saya berdekatan lubang yang sama bagi mendengar pesanan suami," kata Sles.

Sles mendakwa pihak berkuasa cuba untuk menampilkan seolah-olah suaminya seorang penjenayah yang merbahaya sungguhpun sehingga sekarang, pertuduhan suaminya masih belum jelas.

Dalam ucapan sementara menunggu tayangan teater Bilik Sulit arahan Hishamuddin Rais dan Rahmat Haron itu, Sles menerangkan anak-anaknya sering bertanyakan bapanya dan pernah memberitahunya keinginan mereka untuk menunjukkan baju barunya kepada bapanya.

Saya terpaksa memberi alasan kepada mereka (anak-anak) untuk tidak melawat bapa mereka kerana Nik Adli tidak mahu anak-anaknya tertekan oleh sebab tidak dapat berhadapan dengan bapa mereka sungguhpun dapat melihat bapa mereka melalui jaringan dawai dan cermin tersebut.

Sejak pertemuan terakhir, Sles dan keluarganya tidak pernah melawat Nik Adli di Kem Tahan Kamunting sudah masuk bulan ke tujuh.

Nik Adli ditahan sejak 4 Ogos 2001 kerana dituduh terlibat dengan kegiatan militan Kumpulan Militan malaysia (KMM). Nik Adli disambung lagi tempoh tahanan dua tahun lagi.

Tayangan Teater Rakyat yang diadakan di Gelanggang Seni itu dianjurkan oleh Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dengan kerjasama Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat. Dianggarkan 500 penonton hadir ke tayangan tersebut.

1 Comments:

At 7:52 PM, Anonymous Anonymous said...

ya allah ! selamatkanlah orang yang tidak bersalah....dan seksalah orang yang melakukan kezaliman keatas kaum mereka sendiri...amin....

 

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com