Tuesday, June 14, 2005

Kerajaan jimat RM500j setahun beri jarum, kondom percuma

Oleh: RAJA LUVENA SHARIFUDDIN

KUALA LUMPUR 13 Jun - Kerajaan akan dapat menjimatkan sekurang-kurangnya RM500 juta setahun dalam bentuk kos rawatan untuk penghidap HIV sekiranya para penagih diberi jarum suntikan dan kondom secara percuma.

Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Chua Soi Lek berkata, kos pemberian jarum dan kondom kepada penagih dadah dijangka menelan belanja RM145 juta setahun, tetapi mampu membantu mengelakkan 90,000 jangkitan baru HIV.

Sehubungan itu beliau menolak dakwaan pelbagai pihak bahawa cadangan memberikan kedua-dua bahan itu secara percuma kepada penagih dadah bagi mengurangkan kadar jangkitan HIV akan membazirkan wang rakyat.

``Katakan daripada sejuta penagih dadah, 13 peratus daripadanya menggunakan suntikan dan aktif secara seksual.

``Sekiranya kita mulakan program ini untuk peratusan itu, iaitu 130,000 orang, kita akan membelanjakan kira-kira RM145 juta setahun.

``Jika mereka tidak lagi berkongsi jarum suntikan dan mengamalkan seks secara selamat dengan penggunaan kondom itu, 90,000 jangkitan baru akan dapat dihalang dan menjimatkan RM500 juta,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Kebangsaan Ke Arah Mencapai Matlamat Pembangunan Milenium Berkaitan Kesihatan di sini, hari ini.

Awal bulan ini, Soi Lek mengumumkan cadangan kerajaan memberi jarum suntikan dan kondom percuma kepada penagih dadah bagi mengurangkan kadar jangkitan HIV.

Bagaimanapun, cadangan itu menerima pelbagai reaksi termasuk daripada ulama dan pertubuhan agama yang bimbang berleluasanya gejala seks rambang, manakala ada pihak lain pula menyambut baik cadangan itu.

Menurut Soi Lek, selain kos langsung itu, kerajaan juga akan dapat menjimatkan kos rawatan tambahan penyakit seperti radang paru-paru, tibi dan meningitis yang mudah dihidap oleh pesakit HIV.

``Ini kerana 40 peratus penghidap HIV akan terdedah kepada penyakit-penyakit itu yang menelan kos rawatan tinggi, iaitu sehingga RM6,000 seorang,'' katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, pemberian jarum suntikan dan kondom itu tidak akan dilakukan sewenang-wenang, tetapi dihadkan kepada mereka yang `layak' dan disusuli pemantauan rapi.

Bagaimanapun Soi Lek berkata, pihaknya tidak akan bergantung kepada kaedah pengurangan itu sahaja, tetapi akan turut melibatkan program pendidikan, penerapan nilai agama, kaunseling dan bantuan rawatan.

Sehubungan itu, beliau berharap rakyat tidak akan mempolitikkan isu itu kerana masalah jangkitan HIV di negara adalah cabaran besar yang perlu ditangani.

``Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Malaysia baru sahaja memasuki epidemik HIV dengan bilangan penghidap yang kian meningkat dan mampu mencapai 300,000 kes menjelang tahun 2015.

``Selain itu, WHO juga menjangkakan bahawa 15,000 kanak-kanak tempatan akan menjadi anak yatim kerana kematian ibu bapa yang dijangkiti HIV,'' katanya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com