Tuesday, June 14, 2005

Setiausaha Agung PAS bidas kenyataan Keng Yaik

Oleh Wan Nordin Wan Yaacob

KUALA LUMPUR, 14 Jun (Hrkh) - Kenyataan Presiden Parti Gerakan, Dato' Seri Lim Keng Yaik yang menuduh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai berbohong mengenai usaha meneruskan kerjasama dengan bukan Islam disifatkan sebagai satu kenyataan melampau.

Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamaruddin Jaafar berkata, Keng Yaik boleh berkata demikian tetapi hakikatnya hari ini PAS boleh diterima orang bukan Islam.
Malah katanya usaha meneruskan kerjasama dengan parti bukan Islam tidak pernah dipinggirkan terutamanya dalam isu-isu yang disepakati bersama.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Keng Yaik berhubung dakwaan pemimpin Parti Gerakan itu yang menyatakan PAS tidak diterima masyarakat bukan Islam.

Beliau menganggap tuduhan Keng Yaik bahawa PAS tidak diterima masyarakat bukan Islam adalah jauh tersasar lebih-lebih lagi apabila melihat saf kepimpinan baru PAS yang baru dipilih boleh diterima pelbagai lapisan masyarakat.

Kata Kamaruddin, tuduhan terdesak itu memperlihatkan kebimbangan parti komponen kerajaan terhadap populariti PAS kini yang semakin meningkat terutamanya dengan adanya Kelab Penyokong PAS di kalangan bukan Islam.

Beliau juga membidas kenyataan Keng Yaik yang menyatakan dasar PAS menyebabkan parti Islam itu tidak mendapat sokongan bukan Islam.

Katanya lagi, dasar yang dipegang PAS iaitu memperjuangkan Islam tidak menghalang penyokong dari bukan Islam malah katanya dasar Islam itu sendiri tidak menghalang penganut agama lain untuk meneruskan cara hidup mereka.

Bagaimanapun kritikan itu tetap dipandang serius dan Kamaruddian berazam mahu membawa PAS sebagai sebuah parti politik yang memenuhi tiga ciri iaitu bertanggungjawab, munasabah dan sesuai kepada semua keadaan bagi membolehkan usaha menarik sokongan bukan Islam dapat dijalankan.

Kamaruddin berkata, walaupun ada pemimpin kerajaan yang menyatakan bahawa PAS tidak mendapat sokongan dari bukan Islam tetapi PAS sebenarnya relevan kepada semua penganut.

Cuma katanya, usaha mendekati dan memberi penerangan kepada golongan terbabit perlu dipergiatkan dengan memperbanyakkan program seumpamanya.

Terdahulu semalam, Keng Yaik dalam akhbar harian dilaporkan sebagai berkata, kenyataan Abdul Hadi bahawa PAS mahu meneruskan kerjasama dengan parti bukan Islam dianggap satu pembohongan.

Kata beliau lagi, kenyataan itu bertentangan dengan dasar yang diamalkan PAS dan selagi dasar itu dikekalkan pengundi bukan Islam tidak akan menyokong PAS. - mks.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com