Tuesday, June 14, 2005

Hapus subsidi diesel: Hidup rakyat akan tertekan

Oleh Bashir Ishak

KUALA LUMPUR, 14 Jun (Hrkh) - Cadangan kerajaan untuk menghapuskan subsidi diesel dibimbangi akan terus membebankan pengguna dan meruncingkan lagi kemelut harga barang serta memberikan tekanan ekonomi pada rakyat.

Ahli Ekonomi, Dr Rosli Yaakob berkata, penghapusan subsidi ini akan membebankan dua golongan utama yang menggunakan diesel sebagai input mereka iaitu nelayan dan petani.
"Penghapusan subsidi akan meningkatkan harga diesel yang secara langsungnya menaikkan kos operasi mereka. Kedua-dua sektor ini adalah penyumbang utama kepada pengeluaran makanan di negara ini.

"Penarikan balik subsidi diesel akan menyebabkan harga diesel di negara kita akan melambung naik dan secara langsung akan membebankan rakyat kerana ianya akan turut melibatkan sektor lain. Jadi, harga barang akan turut sama melambung naik,"katanya ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.

Laporan akhbar hari ini memaparkan kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Mohd Shafie Apdal bahawa kerajaan akan menghapuskan sepenuhnya subsidi diesel seperti dilakukan Indonesia dan Thailand bagi mengurangkan beban kewangan negara.

Shafei juga mengatakan bahawa pemberian subsidi mengganggu sistem pasaran dan menyebabkan industri tempatan tidak dapat bersaing.

Dr Rosli yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkata, Malaysia sebagai pengeluar minyak sepatutnya menggunakan pendapatan daripada keuntungan jualan minyak yang diperolehi melalui Petronas untuk menampung sebahagian daripada subsidi yang diberikan selama ini.

Katanya lagi, di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Britain dan Perancis sektor utama seperti pertanian diberikan subsidi khusus. Jadi, kerajaan perlu memberikan keadilan kepada rakyat khususnya golongan petani dan nelayan.

"Selain itu, sektor-sektor lain seperti industri perlu mendapat subsidi dari kerajaan dalam bentuk yang lain umpamanya galakan pelaburan dan potongan cukai keuntungan yang rendah.

"Wajarnya jika sudsidi diesel mahu dihapuskan, maka subsidi kepada sektor lain juga perlu dipertimbangkan untuk dihapuskan. Contoh yang paling mudah ialah dengan menghapuskan cukai jalan dan tol di lebuh raya,"tegasnya. - mks.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com