Wednesday, June 15, 2005

Media Amerika dedahkan madrasah bukan pembiak keganasan

Oleh : Zulkifli Sulong

KUALA LUMPUR, 15 Jun (Hrkh) - Bukan madrasah atau sekolah-sekolah pondok yang melahirkan pengganas yang menyerang kepentingan Amerika dan Barat, lapor sebuah akhbar di Amerika berdasarkan kajian yang dibuat oleh dua penyelidik.

Akhbar The New York Times semalam (14 Jun) melaporkan satu kajian yang dibuat oleh dua pengkaji dari New America Foundation menafikan madrasah melahirkan para pengganas sebagaimana yang didakwa sebelum ini.
Mengikut kajian yang dibuat dan ditulis oleh PETER BERGEN and SWATI PANDEY melalui yayasan itu, kesemua mereka yang terlibat dengan aktiviti keganasan terhadap kepentingan Amerika bukan dididik di madrasah atau pondok-pondok tetapi kolej serta universiti.

"Kami telah memeriksa latar belakang pendidikan 75 pengganas yang dilaporkan berada di belakang beberapa kejadian serangan utama terhadap orang Barat sejak akhir-akhir ini.

"Kami dapati, majoriti mereka adalah lepasan kolej dan kebanyakannya mengambil jurusan kejuruteraan," tulis kedua-duanya sebagaimana yang dilaporkan oleh New York Times.

Menurutnya, memang menjadi satu andaian umum, pelajar lepasan madrasah, yang biasanya menjadi pusat pengajian kepada mereka yang kebanyakannya miskin, menjadi pengganas.

"Tahun lalu, Setiausaha Negara, Colin L. Powell mengumumkan madrasah di Pakistan dan beberapa negara lagi sebagai pusat latihan dan pembiakan pengganas ini," lapor akhbar itu lagi.

Di Malaysia, beberapa pemimpin termasuk Najib Tun Razak juga membuat tuduhan yang sama iaitu madrasah dan pondok menjadi sarang pembiakan pengganas.

Di Thailand, pelajar dan guru pondok juga menjadi sasaran kerajaan negeri itu dan juga dituduh sebagai sarang kepada segala kegiatan keganasan di negara itu.

Ramai guru-guru pondok dan murid mereka ditangkap oleh pemerintah atau dibunuh.

Menurut kajian yang dilaporkan NY Times itu lagi, mungkin benar madrasah membiakkan fundementalis Islam yang belajar al Quran dalam bahasa Arab tetapi sekolah sebegini tidak mengajar pelajaran teknik atau kemahiran bahasa yang diperlukan untuk menjadi pengganas.

"Yang pasti, hanya sedikit atau tidak ada langsung bukti yang menunjukkan madrasah mampu melahirkan pengganas yang boleh menyerang Barat.

"Dan dalam hal keselamatan negara, Amerika Syarikat tidak perlu risau tentang fundementalis Islam, mungkin kita berbeza, tetapi (perlu risau) tentang pengganas yang mahu menyerang kita," tulis kedua-duanya lagi.

"Kita mempunyai maklumat yang lengkap tentang latar belakang penyerang untuk empat kes keganasan yang utama iaitu pengeboman the World Trade Center dalam tahun 1993, serangan ke atas American embassies di Kenya and Tanzania in 1998, peristiwa serangan 9/11 dan serangan di Bali 2002.

"53 peratus pengganas samada pelajar kolej atau mempunyai ijazah dari kolej," tulis kedua-duanya lagi.

Pada tahun 1993, serangan ke atas World Trade Center melibatkan 12 lelaki, kesemuanya berpendidikan kolej (universiti).

"Juruterbang kes 9/11, begitu juga perancang yang dikenalpasti oleh Suruhanjaya 9/11, semuanya belajar di universiti yang berprestij di negara-negara Barat yang menjadi kebanggaan kepada penduduk Timur Tengah.

"Bahkan, ketua juruterbang kajadian 9/11, Mohamed Atta, mempunyai ijazah dari sebuah universiti di Jerman dalam jurusan perancangan bandar, manakala perancang operasi 9/11, Khalid Sheikh Mohammed, belajar kejuruteraan di North Carolina.

"Kami juga dapati dua pertiga dari 25 perampas dan perancang yang terlibat dalam 9/11 telah belajar di kolej-kolej," tulis kedua-duanya lagi.

Menurut mereka berdua juga, daripada 75 orang pengganas yang disiasat oleh mereka, hanya sembilan yang belajar di madrasah, dan kesemuanya hanya terlibat dalam kes pengeboman di Bali.

"Bagaimanapun, dalam kes Bali, lima perancang utama (masterminds) adalah pelajar lepasan universiti termasuk dua pensyarah universiti yang menentukan arah tuju pengeboman di Bali itu," tulis kedua-duanya lagi.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com