Saturday, June 18, 2005

9 hakim baru Mahkamah Persekutuan, Rayuan

Oleh NOR ZAINAH NORDIN

PUTRAJAYA 17 Jun - Sembilan orang hakim dilantik mengisi kekosongan empat jawatan sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan dan lima jawatan Hakim Mahkamah Rayuan berkuat kuasa hari ini.

Dengan pelantikan itu, kesemua jawatan Hakim Mahkamah Persekutuan diisi sepenuhnya manakala Mahkamah Rayuan masih memerlukan dua lagi hakim bagi mencukupkan kuota yang ditetapkan.

Empat hakim baru Mahkamah Persekutuan terdiri daripada Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Richard Malanjum, 53; Datuk Arifin Zakaria, 55; Datuk Nik Hashim Nik Ab. Rahman, 62; dan Datuk S. Augustine Paul, 61.

Lima hakim Mahkamah Rayuan pula ialah Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk James Foong Cheng Yuen, 59; Datuk Azmel Ma'amor, 64; Datuk Mohd. Noor Abdullah, 65; Datin Paduka Zaleha Zahari, 56, dan Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin, 54.

Keempat-empat hakim baru Mahkamah Persekutuan mengangkat sumpah jawatan di hadapan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.

Hakim baru Mahkamah Rayuan pula mengangkat sumpah jawatan di hadapan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abdul Malek Ahmad.

Upacara mengangkat sumpah dilakukan di Dewan Persidangan Palace of Justice selepas mereka menerima watikah pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Richard Malanjum yang merupakan Hakim Mahkamah Persekutuan paling muda ketika ini, berkhidmat dengan kerajaan selama enam tahun sebelum menceburi bidang guaman pada 1981.

Beliau memasuki badan kehakiman pada 1992 apabila dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Sabah sebelum dinaikkan ke Mahkamah Rayuan pada tahun 2003.

Arifin, berasal dari Kg. Repek, Pasir Mas, Kelantan, mula berkhidmat sebagai Pegawai Undang-Undang pada 1974 setelah menamatkan pengajian di Universiti Sheffield, United Kingdom.

Beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 1992 sebelum menjadi Hakim Mahkamah Tinggi pada 1994 dan Hakim Mahkamah Rayuan pada 2002.

Nik Hashim dilahirkan di Kota Bharu, Kelantan, berkhidmat sebagai kerani di Pejabat Tanah Kota Bharu pada 1963 sebelum melanjutkan pelajaran dalam bidang perundangan di Inner Temple, London.

Augustine Paul, diingati dengan frasa ``tidak relevan'' ketika perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim, memulakan khidmat sebagai Peguam Persekutuan pada 1971.

Beliau memegang pelbagai jawatan dalam bidang perundangan sebelum dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 1996 dan Hakim Mahkamah Tinggi pada 1998. Beliau dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan pada 2003.

Mohd. Noor, dari Rembau, Negeri Sembilan pula memulakan khidmat sebagai jurubahasa Melayu dengan kelulusan bahasa Tamil di Mahkamah Rendah Kuala Lumpur, Seremban dan Taiping.

Beliau mendapat biasiswa kerajaan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di Lincoln's Inn.

Sementara itu, Zaleha, berasal dari Kajang, Selangor, mempunyai lebih 34 tahun pengalaman dalam bidang perundangan dan pernah memegang jawatan sebagai pegawai undang-undang, majistret dan penasihat undang-undang.

Sebagai satu-satunya hakim wanita yang dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan hari ini, beliau melihat gender bukan sebagai penghalang menjalankan tanggungjawab sebagai hakim.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com